KUALA LUMPUR – PKR menafikan dakwaan parti itu menggunakan isu khalwat terhadap pemimpin politik lawan sebagai senjata untuk memerangkap pihak lawan, kata Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor menegaskan parti berkenaan tidak membawa isu-isu peribadi untuk dijadikan asas pertarungan dan perbincangan politik.
“Eh, tak adahlah, kita pun banyak kerja lain daripada nak atur khalwat.
“Itu tak betul sama sekali, tak pernah dibincangkan pun sama ada secara rahsia atau terbuka untuk memerangkap lawan politik.
“Itu bukan kerja kita.
“Kita pun tak nak membawa isu-isu peribadi untuk dijadikan asas kepada pertarungan dan perbincangan politik,” katanya, lapor media.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Program Semarak Kasih Yayasan Selangor di sini, hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, mengesahkan seorang bekas menteri ditangkap khalwat bersama seorang wanita dipercayai oleh jabatan berkenaan.
Mohd Shahzihan berkata, tangkapan melibatkan figura awam itu dijalankan di sekitar daerah Petaling pada jam 6 petang, kelmarin.
Kedua-dua individu berkenaan, katanya ditahan bagi membantu siasatan berhubung kesalahan yang disyaki dilakukan di bawah Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Berikutan itu, bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini mengesahkan beliau merupakan salah seorang daripada dua individu yang dilaporkan ditahan oleh JAIS membabitkan dakwaan khalwat, kelmarin.
Nik Nazmi yang merupakan pemimpin Parti Bersama berkata, beliau bersama-sama rakan-rakannya telah mengadakan perbincangan di studio mereka di Brickfields dan kemudiannya memutuskan untuk meneruskannya di Petaling Jaya kerana ingin melihat beberapa bahan berkaitan dengan projek yang dibincangkan.
Sambil menyatakan beliau tidak mahu memanjangkan isu terbabit, Nik Nazmi memberitahu, ketika pegawai JAIS tiba, hanya ada beliau dan wanita tersebut sahaja di situ.
“Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan. Seperti yang saya maklumkan juga kepada Pegawai JAIS, kami sememangnya tidak melakukan apa-apa tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka.
“Saya ingin memohon maaf kepada isteri keluarga dan keluarga kami dan semua yang terkesan di atas kesilapan pertimbangan pada waktu kejadian yang tidak sewajarnya berlaku,’’ katanya. – 17 Oktober, 2026
