◉ HEADLINES

Pendaftaran Perikatan Nasional dibatalkan: RoS

Keputusan pembatalan itu dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832]

9:44 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran sebagaimana dinyatakan dalam notis sebelum ini.

Dalam kenyataannya hari ini, RoS berkata, keputusan itu dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] selepas meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan gabungan itu pada 12 Oktober lalu.

“Alasan yang diberikan PN tidak memberikan justifikasi kukuh untuk mengekalkan pendaftaran parti berkenaan.

“Sehubungan itu, Pendaftar Pertubuhan telah membuat keputusan untuk membatalkan pendaftaran PN di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966,” menurut kenyataan itu.

Pada 22 September lalu, RoS mengeluarkan notis bertarikh 22 September kepada PN di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966, untuk memberi peluang kepada parti berkenaan mengemukakan penjelasan dan representasi berhubung perkara yang dibangkitkan.

Susulan notis itu, PN mengemukakan maklum balas pada 12 Oktober, sebelum keputusan pembatalan pendaftaran dibuat.

RoS menegaskan setiap pertubuhan berdaftar bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap peruntukan Akta Pertubuhan 1966, serta perlembagaan pertubuhan masing-masing.

Jabatan itu turut memberi jaminan akan terus melaksanakan fungsi kawal selia dan penguatkuasaan secara tegas, adil serta berlandaskan undang-undang bagi memastikan tadbir urus pertubuhan yang teratur, telus dan berintegriti.

PN sebelum ini berdepan kemelut dalaman susulan aduan Bersatu kepada RoS, berkaitan kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan dan dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.  .

Pada 24 September lalu, RoS mengesahkan semua kegiatan PN digantung dan perintah berkenaan dilakukan mengikut Subseksyen 13(2A) Akta 832. 

PN kemudiannya mengemukakan semakan kehakiman bagi mencabar notis yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) terhadap gabungan berkenaan yang menggantung semua aktivitinya.

PN menamakan Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai responden pertama dan kedua.

Berdasarkan dokumen yang diperolehi media, PN mendakwa, jika perintah penggantungan kegiatan itu tidak ditangguh atau dibatalkan sebelum hari penamaan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, ia akan menjejaskan penyertaan gabungan itu pada PRN berkenaan.

Mahkamah Tinggi kemudiannya  menetapkan 13 Oktober ini bagi mendengar permohonan Perikatan Nasional (PN) untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman tersebut. – 20 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

◉ Related