KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan mencabar kesahihan Perintah Pembatalan pendaftaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan memohon supaya pelaksanaan serta segala kesannya ditangguhkan sementara menunggu penentuan mahkamah, Khamis ini.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hussein turut mempersoalkan tindakan RoS yang membatalkan pendaftaran PN dua hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bakal mendengar permohonan PN untuk menangguhkan tindakan jabatan berkenaan yang mengeluarkan notis ketidakpatuhan dan menggantung semua aktiviti gabungan itu, sebelum ini.
Beliau memberitahu, pada 6 Oktober lalu, Pendaftar menyatakan bahawa isu-isu yang dibangkitkan PN akan dijawab di Mahkamah dan pada 13 Oktober ini.
Mahkamah, katanya, memberikan kebenaran semakan kehakiman serta menetapkan pendengaran penangguhan pada 22 Oktober ini, setelah Jabatan Peguam Negara menegaskan keperluan pendengaran secara inter partes.
“Permintaan bertulis PN pada 14 Oktober lalu supaya tiada tindakan lanjut diambil sementara menunggu pendengaran tidak dijawab, manakala hujahan Peguam Negara pada 19 Oktober pula menyatakan bahawa proses pembatalan “masih berjalan”, tanpa memaklumkan bahawa pembatalan akan dibuat keesokan harinya
“Persoalannya kenapa sebelum tamat tempoh, pendaftaran dibatalkan. PN berpandangan bahawa masa dan urutan tindakan ini menimbulkan persoalan serius tentang unsur mala fide serta tujuan politiknya.
“Notis Pendaftar dikeluarkan pada 22 September ketika pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka diumumkan, disusuli penggantungan keesokan harinya.
“Alasan berhubung mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai 2026 juga bercanggah dengan pendirian bertulis Pendaftar pada tarikh tersebut bahawa Jabatannya “tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan”, sedangkan jawapan terperinci PN ditolak sebagai “tidak memuaskan” tanpa alasan substantif.
“Pembatalan pendaftaran pula dibuat 11 hari sebelum proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 31 Oktober ini. Kami diberikan 30 hari justeru tempoh tamat adalah esok. Sebelum habis edah lagi hari ini kami dibatalkan pendaftaran. Kami minta kerajaan menjelaskan perkara ini,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
PRN Melaka ditetapkan pada 14 November dengan penamaan calon berlangsung 31 Oktober.
Terdahulu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Parti Perikatan Nasional (PN), selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan parti itu gagal menyangkal asas pembatalan seperti yang dinyatakan dalam notis sebelum ini.
RoS dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan, selepas meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, PN mengecam tindakan pembatalan itu sebagai usaha mendahului pertimbangan mahkamah dan melemahkan lawan politik menjelang pilihan raya Melaka.
PN juga, ujar beliau, akan mengambil tindakan atas semua pihak yang menghina dan membelakangkan proses Mahkamah.
Beliau turut meminta parti-parti anggota PN kekal bersatu untuk mempertahankan hak dan mandat rakyat melalui saluran undang-undang serta proses demokrasi.
Seluruh ahli dan penyokong juga, katanya diseru supaya kekal tenang, mematuhi undang-undang dan memberikan ruang kepada proses mahkamah, sementara rakyat menilai tindakan kerajaan yang didakwanya menggunakan kuasa pentadbiran terhadap lawan politiknya menjelang pilihan raya. – 20 Oktober, 2026
