KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membuka bidaan untuk dua asetnya iaitu motosikal Honda X-ADV dan ternakan ikan tilapia, bagi membantu menjelaskan ganti rugi RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Akmal berkata, beliau menghormati keputusan mahkamah dan bersedia mematuhi perintah berkenaan dan merupakan tanggungjawabnya untuk menjelaskan saman tersebut.
Beliau berkata, baginya jumlah RM300,000 itu sangat besar dan simpanannya yang ada tidak mencukupi justeru dengan berat hati membuka bidaan untuk dua aset kesayangannya itu.
“Ada juga yang mencadangkan supaya dibuka tabung sumbangan bagi membantu saya menjelaskan ganti rugi dan kos berjumlah RM300,000 ini. Saya amat menghargai keikhlasan dan keprihatinan tersebut.
“Saya tahu setiap sahabat juga mempunyai keluarga, tanggungan dan kesusahan masing-masing. Sebab itu, selagi masih ada milik saya yang boleh dilepaskan, izinkan saya mengusahakannya dahulu,’’ katanya.
Pada Isnin, Teresa Kok memenangi saman fitnah terhadap Akmal Saleh dan memperoleh ganti rugi am serta ganti rugi teruk berjumlah RM250,000.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Isa Aziz Ibrahim juga memerintahkan Akmal membayar kos sebanyak RM50,000 serta mematuhi injunksi mandatori yang menghendaki kenyataan yang dipertikai dipadam daripada semua platform media sosial.
Menerusi saman difailkan pada 25 Oktober 2024, Kok mendakwa Akmal telah mengeluarkan kenyataan menghina dan merendahkan martabatnya dengan menggambarkan beliau sebagai kurang berpengetahuan khususnya berkaitan pensijilan halal serta menentang dasar kerajaan mengenai amalan Islam.
Kenyataan itu dibuat dalam video yang dimuat naik oleh Akmal di platform TikTok pada 7 September 2024.
Mengulas lanjut, Akmal memberitahu dua aset berkenaan sudah habis dibayar dan beliau tidak mempunyai tanah atau rumah yang boleh dijual untuk mencukupkan ganti rugi tersebut.
“Kedua-duanya ada cerita, penat lelah dan kegembiraan yang tersendiri buat saya. Sebab itu, hendak menulis bahawa saya mahu menjualnya pun terasa berat.
“Berat hati hendak berpisah dengan sesuatu yang kita sayang. Namun, lebih berat hati saya jika terpaksa menyusahkan orang lain sedangkan masih ada milik sendiri yang boleh saya usahakan,’’ katanya.
Pembida yang serius katanya, boleh memasukkan deposit RM100 ke dalam akaunnya dan kemudian menghantar resit berserta aset yang ingin dibida dan jumlah tawaran.
Deposit berkenaan, katanya akan dipulangkan sekiranya bidaan tersebut tidak berjaya.
“Kepada sahabat yang mendoakan, terima kasih. Jangan rasa serba salah jika tidak dapat membeli atau membantu. Doa dan kata-kata semangat kalian pun sudah cukup besar maknanya buat saya,’’ katanya. – 21 Oktober, 2026
