KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak berkompromi terhadap sebarang risiko keselamatan dan kedaulatan negara yang melibatkan Israel, termasuk penggunaan aplikasi navigasi Waze yang dikaitkan dengan rejim itu.
Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM), perlindungan data rakyat dan maklumat negara sentiasa menjadi keutamaan, termasuk dalam menilai implikasi penggunaan aplikasi yang tertakluk kepada undang-undang serta bidang kuasa Israel.
“Kerajaan memandang serius pengumpulan data lokasi, pergerakan, perjalanan serta maklumat peranti pengguna oleh aplikasi navigasi Waze, khususnya apabila terma penggunaannya memperuntukkan pemakaian undang-undang Israel serta bidang kuasa mahkamah rejim itu bagi pertikaian berkaitan penggunaan perkhidmatannya,” lapor Bernama.
Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk melarang semua penjawat awam menggunakan menggunakan aplikasi navigasi milik Israel, Waze, sebaliknya disaran beralih kepada aplikasi TuJu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini, keputusan itu mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd. selaku pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.
TuJu adalah aplikasi tempatan yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya.
Dalam pada itu, MKN berkata, maklumat lokasi dan corak pergerakan pengguna adalah data sensitif yang memerlukan perlindungan sewajarnya, terutama apabila melibatkan urusan rasmi serta kepentingan strategik negara.
MKN menegaskan kemudahan teknologi tidak boleh mengatasi tuntutan keselamatan negara.
“Sehubungan dengan itu, penjawat awam dan rakyat Malaysia disaran beralih kepada aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) atau aplikasi tempatan lain yang bersesuaian.
“Bagi penjelasan lanjut, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), MKN dan JPM telah menyediakan Soalan Lazim (FAQ) yang boleh dirujuk di https://www.nacsa.gov.my/faq-waze.php,” menurut kenyataan itu. – 21 Oktober, 2026
