IPOH – Pendakwah terkenal Ustaz Wadi Annuar antara lima yang cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Lebuhraya Timur Barat, Gerik, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata kejadian pada 2.40 pagi melibatkan Perodua Myvi dan Bezza serta kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.
Beliau berkata bomba dimaklumkan Myvi itu terbabas ke dalam longkang menyebabkan pemandunya yang berusia 24 tahun parah, penumpang lelaki 25 tahun tersepit di bahagian hadapan manakala penumpang belakang 24 tahun cedera ringan.
“Empat individu dalam Toyota Vellfire dengan dua daripadanya cedera dan semua mangsa dalam kenderaan itu dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan bomba. Tiga individu yang menaiki Bezza pula tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata pemandu Myvi dan dua mangsa cedera dari MPV dibawa ke Hospital Gerik dengan menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata operasi melibatkan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dengan kekuatan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta bantuan sebuah lori ditamatkan pada 4.39 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gerik Superintenden Abdul Samad Othman ketika dihubungi Bernama mengesahkan Ustaz Wadi Annuar antara mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Sukarelawan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Mohd Amir Faizal Mohd Zaki ketika dihubungi berkata Ustaz Wadi Annuar mengalami kecederaan pada bahagian rusuk namun telah dibenarkan keluar dari hospital.
Mohd Amir Faizal berkata bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan meminta bantuan memandangkan dirinya sering melakukan rondaan dan membantu mangsa kemalangan di laluan Gerik-Jeli.
“Saya difahamkan Ustaz Wadi berada di tempat duduk belakang Vellfire dan kemalangan berlaku semasa mereka dalam perjalanan dari Sungai Petani, Kedah ke Terengganu untuk menghadiri program.
“Saya sempat menemui Ustaz Wadi di Hospital Gerik dan beliau dalam keadaan stabil,” katanya. – 23 Oktober, 2026
