◉ HEADLINES

DUN Sarawak bubar hari ini

Teka-teki terjawab apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan secara rasmi hari ini bagi memberi laluan kepada PRN13, mendahului tempoh mandat sebenar yang hanya berakhir Februari 2027

8:41 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Gelanggang politik Sarawak kini dibuka secara rasmi apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan hari ini, sekali gus memberi laluan kepada penganjuran Pilihan Raya Negeri ke-13 (PRN13).

Langkah pembubaran lebih awal itu diumumkan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Jumaat lepas susulan perkenan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Berdasarkan Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri, PRN Sarawak wajib diadakan dalam tempoh 60 hari bermula daripada tarikh pembubaran berkenaan.

Susulan itu, tumpuan kini beralih sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan tarikh mesyuarat khas bagi menentukan hari-hari penting PRN13, khususnya hari penamaan calon serta pengundian.

Pada 23 Oktober lepas, Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus dilaporkan berkata tarikh mesyuarat khas itu akan ditentukan sebaik pihaknya menerima pemakluman rasmi pembubaran daripada Speaker DUN Sarawak.

Dalam pada itu, Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) menegaskan bahawa pentadbiran negeri kini berfungsi sebagai kerajaan sementara (caretaker government) dengan mematuhi sepenuhnya lunas perlembagaan.

“Pentadbiran awam dan perkhidmatan penting akan diteruskan bagi memastikan keperluan serta kebajikan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Mandat semasa bagi 82 kerusi DUN Sarawak sepatutnya berakhir pada Februari 2027.

Pada PRN12 yang berlangsung pada 18 Disember 2021, GPS mencatat kemenangan selesa dengan menguasai 76 daripada 82 kerusi, manakala Parti Sarawak Bersatu (PSB) memenangi empat kerusi dan DAP meraih dua kerusi.

Lanskap politik negeri bagaimanapun menyaksikan peralihan ketara apabila PSB dibubarkan pada 2024, menyaksikan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti tersebut menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP) iaitu salah satu parti komponen GPS.

Seorang lagi bekas ADUN PSB, See Chee How yang mewakili kawasan Batu Lintang, memilih untuk keluar parti dan kekal berkhidmat sebagai ADUN Bebas.

GPS kini dibarisi empat parti komponen utama iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan PDP. – 26 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Penemuan kecederaan luar biasa pada badan, JSJ Bukit Aman diarah segera siasat kematian Noorizwan

'Saya telah meminta JSJ, khususnya pengarahnya Datuk M. Kumar, untuk menyiasat kes ini secepat mungkin dan memaklumkan hasil siasatan kepada orang ramai,' kata Mohd Khalid

[TONTON] ‘Persepsi itu wujud, tapi ia tidak benar’: Tengku Zafrul jawab naratif ‘payung kuning’

Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri menepis dakwaan beliau bertindak sebagai orang tengah istana bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menegaskan persepsi lama ‘payung kuning’ tidak mencerminkan realiti

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

◉ Related