◉ HEADLINES

Cadangan bezakan gaji minum rakyat tempatan, pekerja asing perlu diteliti termasuk implikasi perundangan: Ramanan

Ramanan berkata penggajian pekerja asing ketika ini kekal dihadkan kepada enam sektor utama serta subsektor yang dibenarkan dengan kriteria dan syarat kelulusan yang ketat

7:33 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk membezakan kadar gaji minimum antara pekerja tempatan dengan pekerja asing perlu diteliti secara menyeluruh, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan.

Menurut Ramanan, ia khususnya yang membabitkan implikasi perundangan domestik dan konvensyen antarabangsa.

“Penggajian pekerja asing ketika ini kekal dihadkan kepada enam sektor utama serta subsektor yang dibenarkan dengan kriteria dan syarat kelulusan yang ketat,’’ katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Bajet 2027) peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Ramanan turut memberitahu, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) terus mengutamakan rakyat tempatan dalam pasaran pekerjaan, selaras dengan langkah kerajaan menaikkan kadar gaji minimum kepada RM2,000 sebulan bermula Jun 2027 bagi pekerja yang tertakluk kepada pelaksanaan dasar itu.

Majikan ujar beliau, diwajibkan mengutamakan pengambilan pekerja tempatan menerusi portal MyFutureJobs sebelum memohon untuk menggaji pekerja asing, sekali gus menyokong usaha mengurangkan kebergantungan negara terhadap buruh import.

“Kenaikan gaji minimum itu dijangka memanfaatkan lebih empat juta pekerja, manakala perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan perolehan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan berkenaan.

“Bagi PMKS yang bawah hasil jualan RM50 juta, kita kena bagi mereka masa untuk sesuaikan diri,” katanya.

Mengenai sektor ekonomi gig, Ramanan berkata kaedah pengiraan pendapatan dan standard perlindungan bagi kumpulan pekerja berkenaan akan dimuktamadkan secara telus, saksama serta bermaruah menjelang awal 2027.

Beliau memberitahu, formula kadar pendapatan minimum itu dirangka berasaskan kajian komprehensif melibatkan 13 sesi libat urus, 14 sesi perbincangan kumpulan berfokus, 37 temu bual mendalam terhadap 1,962 pekerja platform, penelitian ke atas 487,805 data transaksi perkhidmatan serta penandaarasan membabitkan 42 negara.

“Dapatan ini akan diterjemahkan ke dalam formula kadar pendapatan minimum mengambil kira penyelarasan pendapatan seperti inflasi, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW), gaji penengah, gaji minimum, pendapatan isi rumah serta kos operasi seperti insurans kenderaan, cukai jalan dan kos penyelenggaraan,” katanya.

Berhubung kebajikan pekerja perkhidmatan e-hailing dan p-hailing, Ramanan memaklumkan kerajaan telah mewujudkan inisiatif sokongan kewangan khas berjumlah RM160 juta hasil kerjasama Kesuma bersama Kementerian Kewangan.

“RM160 juta ini, separuh akan ditanggung oleh kerajaan dan separuh akan ditanggung oleh syarikat platform sendiri, di mana buat masa ini kita jadikan Grab sebagai projek rintis,” katanya. – 29 Oktober, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

◉ Related