◉ HEADLINES

CSA pendekatan Dajjal akhir zaman, kuasa bukan lagi amanah yang wajib ditunaikan: Hadi

Menerusi tulisan dalam Minda Presiden PAS, Abdul Hadi berkata mana-mana parti yang menjadi kerajaan wajib menunaikan amanah kepada rakyat secara langsung tanpa perlu membuat aku janji terlebih dahulu

5:11 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menggambarkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) sebagai pendekatan dajjal pada akhir zaman yang menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang wajib ditunaikan kepada semua tetapi memaksa untuk terus berkuasa.

Menerusi tulisan dalam Minda Presiden PAS di Facebooknya, Hadi berkata walaupun tidak berlagak menjadi tuhan laksana Dajjal yang besar, tetapi tetap melaksanakan sifat-sifat Dajjal.

“Kemunculan Confidence and Supply Agreement (CSA) atau dalam Bahasa Melayu sebagai Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan, ialah satu bentuk persetujuan politik di Parlimen.

“Melalui persetujuan ini, blok pembangkang atau Ahli Parlimen bebas bersetuju untuk memberikan sokongan bersyarat kepada pihak kerajaan.

“CSA adalah pendekatan Dajjal pada akhir zaman yang menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah yang wajib ditunaikan kepada semua, tetapi memaksa untuk terus berkuasa. Walaupun tidak berlagak menjadi tuhan laksana Dajjal yang besar, tetapi tetap melaksanakan sifat-sifat Dajjal,’’ katanya.

Menurut Hadi, mana-mana parti yang menjadi kerajaan wajib menunaikan amanah kepada rakyat secara langsung tanpa perlu membuat aku janji terlebih dahulu.

Keadaan ini, katanya umpama seorang lelaki yang bakal menjadi suami yang tidak perlu berjanji atau menandatangani aku janji ketika akad nikah untuk melaksanakan tanggungjawab memberikan nafkah apabila menjadi ketua keluarga.

Jelasnya, sudah menjadi amalan di negara-negara seluruh dunia bahawa hasil negara ialah hak seluruh rakyat.

“Hal ini termasuklah hasil yang diperoleh secara langsung daripada pelbagai bentuk cukai seperti cukai barangan, pakaian, makanan, kenderaan, tempat kediaman dan segala kelengkapannya, sama ada dari dalam negara atau yang diimport.

“Hasil percukaian ini melibatkan penggunaan dan keperluan seluruh rakyat, maka faedahnya wajib dipulangkan kepada semua rakyat, tanpa mengira sama ada mereka mengundi parti kerajaan ataupun parti pembangkang,’’ katanya.

Pada Khamis, enam Ahli Parlimen Bersatu memeterai Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) dengan Kerajaan Madani melibatkan komitmen menyokong kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027).

Perjanjian itu ditandatangani oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dua Naib Presiden, iaitu Datuk Dr Radzi Jidin serta Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan dua Ahli Parlimen parti tersebut Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (Langkawi) dan Datuk Ali Biju (Saratok).

Turut menandatangani perjanjian itu Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA) dan beberapa Ahli Parlimen lain antaranya Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Zahari Kechik (Jeli).) – 3 November, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Mutiara LRT project kicks off as Penang’s six-year construction timeline begins

SRS Consortium receives notice to proceed with first civil works; RM13 billion project slated for completion by 2031

◉ Related