◉ HEADLINES

Diaspora Malaysia di Qatar laksana simulasi pengungsian hadapi ancaman perang, nuklear

Inisiatif yang digerakkan menerusi Malaysian Association in Qatar (MAQ) itu turut melibatkan rakyat Malaysia di Bahrain sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya krisis keselamatan di rantau berkenaan

9:32 AM MYT

 

DOHA – Diaspora Malaysia di Qatar mengambil langkah proaktif memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan dengan melaksanakan beberapa program simulasi pengungsian termasuk bagi menghadapi ancaman peperangan dan nuklear.

Duta Besar Malaysia ke Qatar Faizal Razali berkata inisiatif yang digerakkan komuniti Malaysia menerusi Malaysian Association in Qatar (MAQ) itu turut melibatkan rakyat Malaysia di Bahrain sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlakunya krisis keselamatan di rantau berkenaan.

Beliau berkata MAQ yang menaungi kira-kira 30 kelab komuniti memainkan peranan penting sebagai jaringan sokongan kepada Kedutaan Besar Malaysia, khususnya dalam membantu rakyat Malaysia ketika berdepan situasi krisis.

“MAQ, ketua-ketua komuniti yang berada bersama kita, focal point yang telah dilantik, telah berjaya membantu kedutaan untuk menguruskan kira-kira 6,000 rakyat Malaysia semasa krisis, termasuk membawa keluar rakyat Malaysia untuk pulang ke tanah air,” katanya ketika berucap pada majlis pertemuan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil bersama diaspora Malaysia, di sini semalam.

Faizal berkata MAQ turut menganjurkan pelbagai program interaktif termasuk ceramah dan konsert dalam talian bagi membantu meredakan keresahan rakyat Malaysia ketika berdepan situasi krisis.

Menurutnya, terdapat kira-kira 6,200 rakyat Malaysia menetap di Qatar yang berkhidmat dalam pelbagai sektor profesional dan penting, dengan komuniti berkenaan disifatkan antara paling aktif, tersusun dan patriotik di rantau ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ketua-ketua komuniti serta individu yang dilantik sebagai pusat rujukan atau focal point atas komitmen membantu kedutaan menjaga kebajikan rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia di Qatar adalah antara yang paling berdisiplin, saling membantu, patriotik, dan sentiasa menjaga nama baik Malaysia. Malah, kerajaan Qatar sendiri turut memandang tinggi dan mengiktiraf kepakaran anak-anak bangsa kita di sini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Faizal berkata semangat perpaduan rakyat Malaysia di Qatar terus diperkukuh menerusi penganjuran Sukan Malaysia Qatar melibatkan 16 jenis sukan, sambil menambah acara perahu naga yang diadakan baru-baru ini menarik penyertaan kira-kira 200 peserta, manakala jumlah keseluruhan termasuk penyokong mencecah kira-kira 500 orang.

Beliau berkata Malaysia Business Associations Council turut diwujudkan bagi memacu kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Qatar, selain persatuan belia Qampung yang aktif dalam program sosial, kebudayaan dan patriotisme.

Faizal berkata kehadiran Fahmi ke Doha juga memperkukuh hubungan silaturahim antara rakyat Malaysia di perantauan dengan kerajaan walaupun berada jauh dari tanah air.

Sementara itu, rakyat Malaysia Edwin John Clement Henry, 49, berkata akses kepada maklumat tepat dan sahih adalah penting bagi mengelakkan kekeliruan, khususnya ketika berdepan ketegangan geopolitik di rantau Asia Barat serta penyebaran pelbagai khabar angin menerusi media sosial.
Edwin yang menetap di Qatar sejak 2007 berkata terdapat tanggapan dalam kalangan masyarakat di tanah air bahawa rakyat Malaysia di negara itu berada dalam keadaan tidak selamat hingga perlu dipindahkan pulang.

Bagaimanapun, katanya tanggapan itu tidak menggambarkan situasi dialaminya dan keluarga di Qatar.

“Jadi, saya boleh katakan bahawa kami berasa selamat meskipun berdepan dengan isu geopolitik yang berlaku. Saya dan keluarga berasa sangat selamat berada di sini,” kata anak kelahiran Selangor itu.

Edwin yang aktif dalam MAQ berkata sesi bersemuka dengan pemimpin kerajaan amat penting bagi membolehkan diaspora mendapatkan penjelasan langsung mengenai perkembangan semasa dan dasar kerajaan.

Katanya, pertemuan bersama Menteri Komunikasi turut membuka ruang kepada diaspora membangkitkan isu yang dekat dengan kehidupan mereka, termasuk usaha kerajaan memperkukuh perlindungan kanak-kanak daripada ancaman pedofilia dan jenayah dalam talian. – 8 November, 2026

Topics

 

◉ Hangat

MCMC condemns viral Quran desecration video, vows legal action as investigation continues

The Malaysian Communications and Multimedia Commission (MCMC) has stepped up efforts to identify an individual seen disrespecting the Al‑Quran in viral social media clips, warning the public against spreading incendiary content that could threaten national harmony

Sesi libat urus MCMC dan penyedia platform media sosial diadakan bulan ini

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengadakan sesi libat urus bersama penyedia platform media sosial bagi membincangkan prosedur operasi standard (SOP) melibatkan kandungan peribadi pengguna bulan ini.

Tragedi lori jatuh laut, pemandu ditemukan lemas

Seorang lelaki berusia 24 tahun, dipercayai lemas selepas lori yang dipandunya terjatuh ke dalam laut di Dermaga Pelabuhan Barat, Klang di sini, hari ini.

◉ Related