◉ HEADLINES

Hubungan dagang Malaysia-Taiwan kekal utuh, tiada tanda pelabur tarik diri: Johari

Datuk Seri Johari Abdul Ghani memberi jaminan aktiviti ekonomi bersama Taiwan tidak terjejas dan sedia meneruskan perbincangan pada bila-bila masa

4:45 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia kekal terbuka untuk meneruskan perbincangan mengenai perdagangan dan pelaburan dengan Taiwan, sekali gus menepis kebimbangan mengenai kesan penggantungan rundingan dua hala sebelum ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani menegaskan bahawa aktiviti perdagangan serta pelaburan sedia ada antara kedua-dua pihak terus beroperasi seperti biasa tanpa sebarang halangan.

“Dengan Taiwan, kita terus berdagang seperti biasa. Kita eksport dan import dengan Taiwan itu perkara biasa, tidak ada masalah.

“Baru-baru ini pun wakil Taiwan ada datang berjumpa dan bermesyuarat. Kalau cerita soal perdagangan, memang tiada apa-apa sekatan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran MySaham MITI di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan terkini susulan laporan sebelum ini bahawa Taiwan menggantung rundingan pelaburan dua hala dengan Malaysia ekoran kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan wilayah itu sebagai sebahagian daripada China.

Mengulas mengenai tarikh baharu bagi mesyuarat yang tertangguh, Johari menjelaskan pertemuan bersama wakil Taiwan sememangnya diadakan secara berkala dan kementeriannya sentiasa bersedia untuk duduk semeja membincangkan kerjasama ekonomi.

Terdahulu, Anwar memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah meminta supaya mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Ekonomi Malaysia-Taiwan (MTECC) yang ditangguhkan diteruskan semula di peringkat jawatankuasa kerja, selaras dengan Dasar Satu China yang dipegang negara sejak 1974.

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa tiada petanda pelabur Taiwan akan menarik diri daripada negara ini, malah kerajaan terus memudah cara kemasukan pelaburan mereka terutamanya dalam industri semikonduktor dan cip.

Data terkini menunjukkan hubungan ekonomi kedua-dua pihak terus mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila nilai perdagangan Malaysia-Taiwan melonjak 47.1 peratus kepada RM254.21 bilion bagi tempoh Januari hingga September 2026.

Dalam tempoh sama, eksport Malaysia ke Taiwan meningkat mendadak sebanyak 88 peratus kepada RM116.58 bilion.

Sehingga Jun 2026, sebanyak 1,737 projek pembuatan dengan penyertaan Taiwan telah direalisasikan di Malaysia membabitkan nilai pelaburan RM34.3 bilion, yang berjaya menjana 234,660 peluang pekerjaan. – 12 November, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

◉ Related