KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) serta Jabatan Kastam sedang menyiasat kegiatan eksport semula cip yang diimport oleh Speedmatrix Sdn Bhd, yang berpangkalan di Johor, susulan kaitannya dengan skandal Nvidia menerusi syarikat induknya di Singapura, Megaspeed International Pte Ltd.
“Sebagai penyewa pusat data di Malaysia, Speedmatrix membawa masuk pelayan dan cip kecerdasan buatan (AI) miliknya sendiri ke negara ini untuk kegunaan operasinya, dan kemasukan cip AI ke Malaysia ketika ini tidak memerlukan permit atau lesen,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Miti berkata, eksport, eksport semula, pemindahan kapal (transshipment) atau transit cip AI berprestasi tinggi dari AS melalui Malaysia memerlukan permit kementerian itu sejak Julai 2025.
Miti berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Singapura dan AS bagi mempertimbangkan langkah selanjutnya untuk memperkukuh kawalan terhadap cip AI.
Kementerian itu turut menafikan spekulasi pihaknya “memberi kelulusan” kepada Megaspeed dan Speedmatrix, sambil menjelaskan bahawa lawatan pegawai kementerian ke pusat data syarikat berkenaan merupakan sebahagian daripada pemantauan rutin.
“Lawatan pengesahan yang dijalankan kementerian ke kemudahan berkenaan adalah sebahagian daripada pemantauan berkala terhadap sektor pusat data dan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai tanda sesebuah syarikat telah mendapat kelulusan.
“Sebarang dakwaan sebaliknya adalah tidak tepat,” menurut Miti.
Kementerian itu memberi amaran pemberi maklumat palsu kepada pihak Kastam merupakan satu kesalahan serius di bawah Akta Kastam 1967.
Miti turut menjelaskan meskipun Malaysia tidak menguatkuasakan kawalan eksport yang dikenakan secara unilateral oleh negara lain, syarikat yang beroperasi di negara ini perlu mengambil kira kawalan berkenaan ketika menjalankan urusan perniagaan antarabangsa.
“Malaysia mengalu-alukan pelaburan dalam sektor pusat data dan teknologi, namun tidak akan membenarkan negara ini digunakan sebagai jalan untuk mengelak kawalan eksport,” menurut MITI sambil menegaskan tindakan akan diambil terhadap mana-mana syarikat yang didapati melanggar undang-undang Malaysia.
Kenyataan MITI itu menyusul krisis kepimpinan Nvidia susulan peletakan jawatan pengasas dan presidennya, Jensen Huang, semalam, di tengah-tengah kontroversi yang semakin memuncak berhubung dakwaan hubungan sulit di luar perkahwinan, termasuk dengan seorang individu yang didakwa sebagai perisik China.
Wanita berkenaan, Alice Huang, merupakan bekas eksekutif yang mempunyai kaitan dengan syarikat pengkomputeran awan berpangkalan di Singapura, Megaspeed International. Risikan Amerika Syarikat ketika ini sedang mengesahkan sama ada Alice bertindak bagi pihak perisikan China, dakwaan yang telah dinafikan Beijing.
Dilaporkan bahawa antara Jun 2024 hingga Februari 2025, Speedmatrix telah membeli perkakasan AI dan unit pemprosesan grafik (GPU) Nvidia yang dianggarkan bernilai US$4.8 bilion (RM19.5 bilion). Perkara itu menimbulkan syak wasangka pihak berkuasa Amerika Syarikat berhubung kemungkinan pengalihan atau pengeksportan semula cip AI berprestasi tinggi ke China bagi mengelak kawalan eksport negara itu. – 13 November 2026
