◉ HEADLINES

Tiada petunjuk cip Nvidia dieksport dari Malaysia : Anwar

Perdana Menteri berkata Malaysia akan bekerjasama dengan Singapura dan Amerika Syarikat sekiranya menerima permohonan rasmi untuk menjalankan siasatan

3:35 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Tiada petunjuk bahawa cip kecerdasan buatan (AI) yang dikaitkan dengan skandal Nvidia dieksport dari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada Singapura atau Amerika Syarikat berhubung siasatan terhadap syarikat yang dikaitkan dengan isu berkenaan, termasuk Megaspeed International Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura dan anak syarikatnya di Johor, penyewa pusat data, Speedmatrix Sdn Bhd.

“Setakat ini, belum ada sebarang petunjuk mengenai eksport cip,” katanya kepada pemberita di Brickfields hari ini, lapor Bernama, ketika ditanya sama ada terdapat bukti cip berkenaan telah dieksport dari Malaysia.

Anwar berkata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah membentangkan laporan mengenai perkara itu pada mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi.

“Kita akan bekerjasama dengan semua agensi yang terlibat.

“Buat masa ini, kita belum menerima sebarang permohonan (daripada Singapura atau Amerika Syarikat). Namun, sudah tentu kita akan bekerjasama.

“Kita merupakan negara perdagangan. Kita mengalu-alukan pelaburan dan mahu memastikan semua peraturan dipatuhi,” katanya.

Dalam satu kenyataan hari ini, MITI berkata kementerian itu tidak pernah memberikan kelulusan kepada Megaspeed International yang berpangkalan di Singapura atau sekutunya di Malaysia, Speedmatrix.

MITI berkata Speedmatrix merupakan penyewa pusat data di negara ini, sekali gus membolehkannya membawa masuk pelayan dan cip AI miliknya sendiri ke Malaysia untuk kegunaan operasinya. Ketika ini, tiada permit atau lesen diperlukan untuk membawa masuk cip AI ke Malaysia.

Bagaimanapun, sejak Julai 2025, mana-mana pihak yang ingin mengeksport, mengeksport semula, memindahkan atau membawa masuk cip AI berprestasi tinggi buatan Amerika Syarikat dari atau melalui Malaysia perlu terlebih dahulu mendapatkan permit daripada MITI di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010, menurut kementerian itu.

Dilaporkan antara Jun 2024 hingga Februari 2025, Speedmatrix telah membeli perkakasan AI dan unit pemprosesan grafik (GPU) Nvidia yang dianggarkan bernilai US$4.8 bilion (RM19.5 bilion). Perkara itu menimbulkan syak wasangka pihak berkuasa Amerika Syarikat berhubung kemungkinan pengalihan atau pengeksportan semula cip AI berprestasi tinggi ke China bagi mengelak kawalan eksport negara itu.

Nvidia kini berdepan krisis kepimpinan susulan peletakan jawatan pengasas dan presidennya, Jensen Huang, semalam, di tengah-tengah kontroversi yang semakin memuncak berhubung dakwaan hubungan sulit termasuk dengan seorang individu yang didakwa sebagai perisik China, Alice Huang, yang juga bekas eksekutif Megaspeed International.

MITI berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menentukan sama ada mana-mana cip berkenaan telah dieksport semula ke negara lain dan, jika ya, sama ada pengeksportan semula itu mematuhi undang-undang Malaysia.

Kementerian itu turut memberi amaran bahawa pemberian maklumat palsu kepada pihak Kastam berhubung barangan berkenaan merupakan kesalahan serius di bawah Akta Kastam 1967.
MITI berkata Malaysia akan menjalankan pemeriksaan sendiri secara bebas, selaras dengan undang-undang negara dan berdasarkan bukti yang tersedia.- 13 November 2026

Topics

 

◉ Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Penugasan baharu Shuhaily dalam PDRM belum diputuskan : KPN

Mohd Khalid berkata sebarang tugasan dan tindakan susulan terhadap Shuhaily hanya boleh diambil selepas beliau kembali ke PDRM, namun setakat ini belum ada keputusan dibuat

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

◉ Related