KUALA LUMPUR – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkan menarik balik surat sembah maklum kepada Raja-Raja Melayu bertarikh 17 September yang mendakwa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bukan lagi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Surat berkenaan juga menyatakan pendirian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan, sekali gus mengekalkan status quo Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Saya mengesahkan surat itu. Surat itu jelas dengan sendirinya lah (The letter is self-explanatory).
“Kandungan surat itu jelas. Mereka yang telah membacanya akan memahami maksudnya,” katanya, lapor Bernama, ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali peringkat Negeri Sembilan hari ini.
Ismail turut memberitahu, beliau telah menulis surat kepada pihak Istana untuk memohon menghadap Tuanku Muhriz serta bagi mendapatkan perkenan baginda bagi merasmikan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan 26 November ini.
“Kami masih menunggu perkenan Tuanku dan permohonan untuk mengadap baginda telah dibuat. Tarikh itu (persidangan DUN) adalah tarikh yang kerajaan cadangkan, tetapi masih tertakluk kepada perkenan Tuanku
“Sebenarnya daripada segi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, bukanlah tamat pada 27 November itu, tetapi hanya belanjawan ini kita perlu selesaikan sebelum akhir tahun,” katanya.
Sementara itu, Ismail enggan mengulas lanjut kedudukan 10 bekas Exco terlibat kerana masih belum berkesempatan menghadap Tuanku Muhriz.
“Setakat ini, sebab belum dapat menghadap Tuanku, jadi tak dapat apa berita lagi. Kedudukan Exco tiada perbincangan lagi setakat ni. Kalau dah dapat menghadap, kita akan terima pandangan Tuanku…sekarang saya belum dapat beri komen apa-apa,” katanya.
Senarai 10 bekas Exco itu ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Datuk Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah
Sebelum ini, tular surat bertarikh 10 November berhubung penarikan balik kandungan surat persembahan maklum kepada Majlis Raja-Raja Melayu bertarikh 17 September lepas dan pendirian Ahli MMK.
Surat berkenaan memaklumkan, Ismail bersama-sama 10 Ahli MMK sebulat suara memutuskan untuk menarik balik kandungan surat bertarikh 17 Sept dengan mengambil kira kenyataan media Raja-Raja Melayu bertarikh 14 Okt serta Perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun yang mengekalkan status quo kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Persidangan DUN itu, yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada pertengahan Oktober sebelum dibatalkan, kini dijadualkan bermula pada 26 November.
Perubahan pendirian mereka susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-273 pada 14 Oktober, selain keputusan Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Jun yang memberikan injunksi interim bagi mengekalkan status quo.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad bagi pihak Raja-Raja Melayu itu, semua pihak yang terlibat digesa supaya bertindak dengan bijaksana, bersabar serta menghormati adab, adat dan martabat institusi diraja.
“Isu ini sama sekali tidak boleh dieksploitasi untuk kepentingan politik, meraih sokongan, meluaskan pengaruh atau memajukan agenda dalam perebutan kuasa,’’ katanya.
Pada 16 Oktober tular rakaman video di media sosial yang memaparkan Tuanku Muhriz secara terbuka menegur Ismail dan mempersoalkan kenapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Juaseh itu mahu menghadap baginda sedangkan beliau sebelum ini menyatakan Tuanku Muhriz bukan lagi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Krisis institusi diraja Negeri Sembilan mula memuncak susulan kemunculan Proklamasi 19 April yang memecat Tuanku Muhriz dan mengiktiraf Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.
Bagaimanapun keabsahan proklamasi tersebut ditolak mentah-mentah oleh Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai dan 13 September, yang memutuskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
Pertikaian itu bertambah rumit apabila peguam Tuanku Muhriz menyifatkan tindakan Exco negeri sebagai cubaan “coup d’état” dan menghina mahkamah, manakala Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid menegaskan pentadbiran negeri tidak mempunyai kuasa mengatasi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Berikutan itu, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan yang berkuat kuasa pada 20 September dan pembatalan itu diwartakan pada 24 September. – 14 November, 2026
