KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes pecah amanah dan penggubahan wang haram melibatkan pengarah Maju Holdings Sdn Bhd Tan Seri Abu Sahid Mohamed dan isterinya Puan Seri Noor Azrina Mohd Azmi akan bermula pada Julai tahun depan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin menetapkan tempoh perbicaraan selama 21 hari iaitu pada 21 hingga 23 Julai, 18,19, 20 dan 27 Ogos, 6 hingga 9, 20, 21 dan 24 September serta 4 hingga 7 dan 11 hingga 13 Oktober 2027.
Mahkamah turut menetapkan 22 Mac 2027 untuk sebutan semula kes.
Pada sebutan kes hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Esther Jacyntha turut menyerahkan tiga jilid dokumen kepada pihak pembelaan, sekali gus melengkapkan proses penyerahan dokumen.
Abu Sahid didakwa atas lima pertuduhan menyalahgunakan wang milik syarikat berjumlah lebih RM458.5 juta yang diamanahkan kepadanya dalam akaun bank di Taman Tunku dan Taman Serdang Perdana dekat sini antara 3 Mei 2016 hingga 21 Okt 2019.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau juga berhadapan 10 pertuduhan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM116,449,536.12 daripada akaun miliknya kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan.
Bagi tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abu Sahid didakwa melupuskan hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah keseluruhan RM22,802,612.86 dengan membuat pengeluaran tunai melalui 15 keping cek daripada akaun miliknya di bank sama antara 4 Mei 2016 hingga 19 Sept 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama.
Sementara itu, Noor Azrina didakwa atas pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM67.14 juta menerusi akaun banknya daripada akaun bank milik Abu Sahid.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Bukit Tunku antara 6 Mac 2017 dan 27 Nov 2017, dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – 20 November, 2026
