KUALA LUMPUR – Penghargaan untuk rakyat diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencerminkan tekad Kerajaan Perpaduan untuk terus memelihara amanah dan kebajikan rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia adalah seruan penyatuan dan penghargaan terhadap semua yang menyumbang kepada pembangunan negara dari kampung hingga ke bandar, penjawat awam hingga ke petani.
“Ini bukti jelas betapa Malaysia Madani bukan sekadar slogan, tetapi gerakan nasional yang kita jayakan bersama. Perdana Menteri memberi penghormatan yang selayaknya kepada rakyat Malaysia yang menjadi tulang belakang kestabilan negara.
“Ucapan ini menyatukan semua pihak untuk terus fokus pada pembaharuan menyeluruh demi masa depan anak cucu kita. Tegas pada dasar, jelas pada hala tuju.
“Perdana Menteri berjaya menanam keyakinan bahawa reformasi fiskal sedang berjalan atas
landasan yang betul dengan sokongan rakyat sebagai nadi utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, pengumuman kerajaan itu juga membuktikan bahawa reformasi tidak semestinya membebankan,
malah ia memberi keadilan dan kelegaan kepada majoriti rakyat.
“Sebagai anak Sarawak, saya melihat sendiri makna sebenar dasar menyeluruh. Kenaikan harga lantai padi, insentif getah, dan program akar umbi seperti Sejati Madani menjawab keperluan rakyat luar bandar.
“Kampung Angkat Madani diperluas ke 200 kampung dan sasaran 1,000 Sekolah Angkat Madani menjelang akhir 2025 pastinya memberi manfaat kepada semua negeri.
“Begitu juga langkah memperluaskan Jualan Rahmah Madani ke 600 DUN seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, sebagai Menteri Bertanggungjawab Terhadap Hal Ehwal Sabah Sarawak, turut mengambut baik pengumuman Cuti Umum Tambahan pada 15 September 2025 sempena Hari Malaysia tahun ini.
Sementara itu, Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC) menyifatkan penghargaan luar biasa kerajaan membabitkan inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk semua dan penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter adalah selaras dengan kerangka ekonomi Madani.
Pengerusinya, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, pemberian kerajaan itu berupaya meredakan kos sara hidup dan menyediakan ruang perbelanjaan lebih selesa kepada B40 serta M40.
“Ia turut memperlihatkan kepekaan kerajaan terhadap realiti semasa dihadapi rakyat.
“Langkah proaktif dan pantas ini membuktikan bahawa kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat serta berusaha mencari penyelesaian yang tuntas demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Shahar berkata, segala usaha keras kerajaan Madani dalam menarik pelaburan ke negara kini sudah dapat diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.
“Pihak BBC percaya bahawa segala inisiatif diumumkan ini akan memberi manfaat nyata kepada seluruh rakyat Malaysia, mengurangkan bebas kos sara hidup selain turut memacu pertumbuhan ekonomi negara ke arah lebih mampan,” katanya.
Terdahulu Perdana Menteri hari ini mengumumkan penghargaaan untuk rakyat antara lain pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program SARA.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak. – 23 Julai, 2025

