◉ HEADLINES

Guna pesawat tentera angkut dadah: Juruterbang TUDM dikenal pasti koordinator utama sindiket

Bukit Aman mendedahkan seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berperanan sebagai koordinator dan pengangkut utama sindiket penyeludupan dadah dari Lembah Klang ke Sabah, susulan rampasan bahan terlarang di Pangkalan Udara Subang minggu lalu

4:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang ditahan dalam operasi khas minggu lalu dikenal pasti berperanan sebagai koordinator serta pengangkut utama bagi sindiket penyeludupan dadah yang menyalahgunakan aset ketenteraan untuk membawa bekalan dari Lembah Klang ke Sabah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mendedahkan suspek merupakan antara watak penting dalam rangkaian jenayah terancang itu yang mempunyai struktur hierarki tersusun merangkumi ketua sindiket, penyelaras dan pengangkut.

“Selain menjadi koordinator, dia juga bertindak mengangkut bekalan dadah tersebut dari Lembah Klang ke Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Lawatan Kebajikan dan Penyerahan Replika Cek Insurans Kelompok Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Tengah Geting, Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Menurut Hussein, siasatan awal mendapati bekalan bahan terlarang itu diseludup masuk ke Labuan dan Tawau, namun polis tidak menolak kemungkinan wujud beberapa lagi destinasi sasaran lain di negeri berkenaan.

Setakat ini, seramai 13 individu telah diberkas bagi membantu siasatan membabitkan tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam, manakala polis sedang giat memburu beberapa lagi saki-baki ahli rangkaian sindiket yang telah dikenal pasti.

Mengulas lanjut punca terbongkarnya taktik licik menggunakan pengangkutan tentera itu, Hussein mendedahkan ia berputik daripada risikan kes tangkapan besar-besaran di Sabah membabitkan rampasan enam kontena di Pelabuhan Klang pada Januari lalu yang dipercayai memuatkan dadah untuk dihantar ke Teluk Sepanggar.

“Polis berjaya memperoleh maklumat risikan yang lebih kukuh pada Julai sebelum membuka kertas siasatan dan melakukan pemantauan rapi sehingga membawa kepada serbuan di Pangkalan Udara Subang baru-baru ini,” jelasnya.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan penahanan 13 suspek terbabit susulan penemuan dadah yang disembunyikan di dalam lima bagasi dan sebuah kotak di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, Selangor.

Taktik penyeludupan yang pertama kali seumpamanya berjaya dipatahkan itu dikesan menerusi prosedur pemeriksaan rutin terhadap kargo sebelum ia dimuatkan ke dalam pesawat TUDM. – 25 November, 2026

Topics

 

◉ Hangat

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

◉ Related