HEADLINES

Najib minta saya bersihkan namanya: Zeti

Tan Sri Zeti Akhtar Aziz menafikan beliau dan ahli keluarganya pernah menerima atau mengambil dana 1MDB

9:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak memintanya membersihkan nama beliau berhubung RM2.6 bilion yang ada dalam akaun bank peribadinya.

Bagaimanapun, Zeti berkata, beliau enggan mematuhi permintaan Najib kerana tidak mempunyai pengetahuan tentang akaun bank milik bekas perdana menteri itu.

“Saya dipanggil ke Pejabat Perdana Menteri. Beliau (Najib) meminta saya untuk mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan berhubung akaun banknya.

“Saya memaklumkan kepadanya bahawa saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana saya tidak mempunyai pengetahuan tentang transaksi yang telah berlaku dalam akaunnya. Beliau menerima keputusan saya,” katanya.

Zeti adalah saksi pendakwaan ke-46, pada perbicaraan Najib yang menghadapi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurutnya, tidak lama selepas mesyuarat itu, beliau menerima panggilan daripada seorang menteri yang membuat permintaan sama agar beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian dan beliau telah memberikan jawapan yang sama.

Zeti, 76, yang menjadi gabenor BNM selama 16 tahun sejak 2000 memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak tahu mengenai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun bank peribadi Najib pada waktu itu.

“Mengenai dakwaan yang dibuat oleh Najib semasa temu bualnya dengan Malaysiakini yang disiarkan pada 2 Julai 2018, di mana beliau mendakwa bahawa saya mengetahui tentang RM2.6 bilion dalam akaunnya di Am Islamic Bank Berhad dan bahawa saya tidak membangkitkan sebarang soalan mengenainya, saya ingin menyatakan dengan jelas bahawa saya tidak mengetahui transaksi yang dilakukan dalam akaunnya pada masa itu,” katanya.

Jelas Zeti, semua pemegang akaun dalam sistem kewangan dilindungi oleh peruntukan kerahsiaan perbankan dalam perundangan.

Justeru, katanya, tiada sesiapa boleh mengakses mana-mana akaun melainkan institusi kewangan berkenaan mengesan aktiviti yang mencurigakan dalam akaun dan melaporkannya kepada bank pusat.

Beliau berkata dakwaan yang dibuat oleh Najib adalah palsu kerana pada masa itu, beliau tidak tahu bahawa jumlah RM2.6 bilion telah dimasukkan ke dalam akaun bekas menteri kewangan itu dan dana itu milik 1MDB.

Zeti yang berkhidmat dengan bank pusat itu selama 35 tahun berkata, kebimbangan utama pada masa itu ialah AmBank tidak melaporkan kepada BNM mengenai lebih 500 transaksi berkaitan akaun itu yang mencurigakan atau tidak teratur seperti yang dikehendaki di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Susulan siasatan, AmBank mengakui mengenai tiada pendedahan ini, laporan palsu dan kegagalannya dalam pematuhan peraturan berhemat.

“AmBank membayar penalti tertinggi dalam sejarah kami berjumlah RM59 juta dan juga dikehendaki memperuntukkan sekurang-kurangnya RM100 juta untuk tindakan pemulihan bagi mengukuhkan sistem dalamannya bagi pematuhan pencegahan pengubahan wang haram/mencegah pembiayaan keganasan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Zeti memberitahu mahkamah bahawa tiada seorang pun dalam keluarganya pernah mengambil wang 1MDB.

Ahmad Akram: Daripada semua transaksi ini, adakah kamu atau ahli keluarga kamu menerima sebarang faedah daripada 1MDB?

Zeti: Tiada seorang pun daripada ahli keluarga saya menerima atau mengambil wang 1MDB, walaupun satu sen.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan dihadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 14 Ogos. – 27 Julai, 2023

Topics

 

Hangat

[UPDATED] Welcome back to the Black Parade: My Chemical Romance set to rock Malaysia in 2026

Emo legends to play Bukit Jalil on April 30 as part of their long-awaited world tour, with Malaysian tickets ranging from RM299 to RM1,099 and sales opening on July 11, 2025

End of an era: Ex-Malaysia Airlines A380 faces dismantling in French scrapyard

Once a long-haul icon, the superjumbo is being dismantled for prized components as the airline modernises its fleet with fuel-efficient jets

Is it costly for small businesses to obtain halal certification?

A restaurant owners’ group agrees it can be, while application guidelines show fee is not high but added costs lie in the process to achieve compliance

Related