Dron jatuh cederakan orang awam semasa penamaan calon, 4 individu ditahan polis

Mereka disiasat kerana menerbangkan dron tanpa kebenaran dan berdepan hukuman penjara 7 tahun sekiranya bersalah

6:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan empat pengendali yang menerbangkan dron tanpa kebenaran di kawasan tumpuan orang awam pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam, ditahan polis.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Norazman Mahmud berkata, polis turut merampas keempat-empat dron terbabit.

Beliau berkata, satu daripada kes itu menyebabkan berlaku insiden kemalangan membabitkan penggunaan dron pertanian selepas ia jatuh dan mendatangkan kecederaan terhadap orang awam.

“Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan kes ini sedang disiasat CAAM di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

“Siasatan juga dilakukan pihak polis di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, polis Kelantan pagi semalam menahan dua lelaki selepas menerbangkan dron di dua pusat penamaan calon.

Susulan penahanan itu, pihak polis merampas dua unit dron dan dua alat kawalan jauh serta satu telefon bimbit.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun dilaporkan berkata, kedua-dua lelaki berusia 14 tahun serta 55 tahun itu ditahan di pusat penamaan calon Institut Pendidikan Guru Pengkalan Chepa dan Kolej Vokasional, Pasir Mas.

Pada hari sama, polis Kedah mengesan dua kes dron, termasuk satu daripadanya yang dipercayai digunakan untuk tujuan pertanian, tersasar jatuh ke atas penyokong parti ketika proses penamaan calon di Kuala Kedah.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, satu lagi kes itu membabitkan dron yang diterbangkan di pekarangan pusat penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Pendang yang membawa penahanan seorang lelaki berusia 24 tahun.

Mengulas lanjut, Norazman berkata, jika disabit kesalahan, tindakan itu boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya.

Pada masa sama, CAAM mengingatkan orang ramai bahawa pengendalian pesawat udara tanpa pemandu itu yang tidak mendapat kelulusan adalah dilarang sepanjang PRN berlangsung, termasuk ketika penamaan calon, hari mengundi awal 8 Ogos ini serta pengundian, 12 Ogos nanti.

“Sebarang aktiviti dron tanpa kelulusan yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam atau harta benda adalah satu pelanggaran kepada peraturan di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969, Peraturan 140-144 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Civil Aviation Directives (CAD) yang dikeluarkan CAAM mengikut Seksyen 24O Akta Penerbangan Awam 1969.

“Jika sabit kesalahan, akan dikenakan denda atau hukuman penjara seperti ditetapkan di bawah peraturan berkaitan,” katanya.

Penamaan calon PRN kali ini yang berlangsung bermula jam 9 hingga 10 pagi, menyaksikan seramai 572 wakil, terdiri daripada 501 lelaki dan 71 wanita bertanding merebut kerusi DUN masing-masing.

Sebanyak 245 kerusi DUN dipertandingkan di enam negeri, iaitu 36 di Kedah, manakala Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

PRN menampilkan calon tertua berumur 80 tahun di DUN Pantai Jerejak dan paling muda 23 tahun di Bukit Antarabangsa ini, menyaksikan pertandingan satu lawan satu di 180 kerusi, tiga penjuru (51), empat penjuru (13) dan lima penjuru (1). – 30 Julai, 2023

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related