HEADLINES

Bantuan kepada Gaza, bekalkan barang yang diperlukan: Anwar

Perbincangan dengan pihak berkaitan perlu dibuat sebelum menyalurkan bantuan, bagi memastikan bantuan itu benar-benar bermanfaat kepada mangsa

11:21 PM MYT

 

KAHERAH – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menasihatkan pasukan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia, yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa kekejaman rejim Israel di Gaza, supaya menyalurkan bantuan berasaskan keperluan.

Perdana Menteri berkata walaupun beliau mengakui niat NGO dan pasukan sukarelawan berkenaan baik, namun perbincangan dengan pihak berkaitan perlu dibuat sebelum menyalurkan bantuan, bagi memastikan bantuan itu benar-benar bermanfaat kepada mangsa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan pasukan sukarelawan dan NGO dari Malaysia, yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa kekejaman rejim Israel di Gaza, supaya menyalurkan bantuan berasaskan keperluan. – Gambar Facebook, 23 Oktober, 2023

“Jangan beli ikut selera kita, ini masalah badan-badan yang menganjurkan, niatnya baik, tetapi kadang-kadang yang dibeli yang orang tidak perlukan atau dia tentukan, tidak boleh, kita kena dengar sendiri apa yang orang Gaza nak.

“Ubat, ubat pun ada beberapa jenis ubat, ubat mesti label dengan betul…Oleh yang demikian, ada beberapa kaedah yang harus dipatuhi. Kemudian makanan begitu juga, mereka tiada upaya masak, jadi (perlukan) makanan siap, dalam tin, ada yang beri maklumat kalau mi segera tu, dia tak makan.

“Jadi dalam hal ini, jangan beli sehingga kita tahu (apa yang rakyat Gaza perlukan),” katanya kepada wartawan Malaysia pada sidang akhbar pada akhir lawatan kerja dua harinya ke Mesir hari ini.

Anwar berkata demikian sebagai mengulas pertemuannya dengan Presiden Persatuan Bulat Sabit Merah Mesir Dr Ramy el-Nazer, yang turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Duta Besar Malaysia ke Mesir Zamani Ismail dan Exco Mercy Malaysia Azura Ibrahim.

Sementara itu, Anwar mengingatkan badan-badan yang tidak berdaftar, tidak telus dan tidak memiliki akaun yang teratur, supaya tidak mengutip derma bagi tujuan kebajikan kerana ia akan merugikan masyarakat Gaza yang memerlukan.

Mengenai bantuan pakaian kepada masyarakat Gaza, Anwar berkata kerajaan Malaysia akan menghantar keperluan berkenaan menggunakan pesawat ke Mesir, sebelum menyerahkannya kepada Persatuan Bulan Sabit Merah untuk dihantar ke Gaza.

“Saya sebut dengan Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi tadi, kita minta keizinan kerajaan Mesir dan  beliau telah memberi pengakuan untuk menyegerakan kelulusan (penghantaran bantuan) dan memindahkan kepada bulan sabit (Persatuan Bulan Sabit Merah) atau badan-bandan lain yang kita iktiraf,” katanya.

Mengenai lawatannya ke Riyadh, Turkiye dan Mesir, Anwar berkata banyak pengikitirafan diberikan kepada Malaysia semasa lawatannya, termasuk pihak media yang mengadakan temuramah eksklusif dengan beliau. – 23 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

We never ask for personal user data from telcos under MPD initiative: MCMC

Deputy managing director explains that all mobile data is anonymised at the telco level, with no names, IC numbers or addresses ever collected or stored by the commission

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related