HEADLINES

DAP janji kerah jentera bantu calon BN tawan kerusi DUN Pelangai

Ia ‘timbal balas’ dan semangat perpaduan berterusan, susulan jentera UMNO, BN beri sokongan penuh kepada calon PH di Pulai, Simpang Jeram

1:21 PM MYT

 

PUTRAJAYA – DAP yakin semangat kemenangan dan kerjasama dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan pada dua Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini, akan diteruskan ketika PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Oktober depan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, parti berkenaan sendiri akan mengerahkan jentera bagi menumpukan perhatian membantu calon Barisan Nasional (BN) memenangi DUN Pelangai.

“Kejayaan dan kemenangan (pada PRK Parlimen Pulai serta DUN Simpang Jeram) itu menjadi pembakar semangat dan suntikan keyakinan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Semangat ini akan terus dibawa ke PRK Pelangai. Di Johor jentera Umno dan BN memberi sokongan penuh kepada calon PH di Pulai serta Simpang Jeram.

“Jelas sekali itu adalah formula kejayaan dan sudah tentu apabila sampai DUN Pelangai nanti, giliran PH untuk berkempen bagi calon Umno-BN,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar di Persidangan Tahunan DAP 2023 di sini, hari ini.

PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang juga antara 10 individu yang terkorban dalam tragedi pesawat terhempas di Bandar Elmina, 17 Ogos lalu.

Selain itu, Loke yang juga Menteri Pengangkutan yakin menerusi kerjasama semua parti komponen, DUN Pelangai akan kekal menjadi kubu kuat Umno dan BN.

“Kebetulan DUN Pelangai di bawah Parlimen Benting diwakili YB Young Syefura dari DAP, sudah tentu DAP akan mengerahkan jentera kita untuk menumpukan perhatian, termasuk di pusat daerah mengundi (PDM) yang kita ada sokongan dan pengaruh besar, seperti di Telemong serta beberapa kawasan kampung baharu,” katanya.

Sementara itu, Loke berkata, kemenangan di PRK Pulai dan Simpang Jeram memberi isyarat bahawa rakyat serta pengundi mahukan kestabilan politik dalam negara.

“Rakyat mahukan kestabilan politik, sebab sentimen dan naratif dimainkan Perikatan Nasional (PN) pada PRK, kalau menang di Pulai kerajaan akan berubah.

“Itu memakan diri mereka kerana ini jelas menunjukkan bahawa rakyat tidak mahu melihat ketidakstabilan politik, berpecah-pecah, kerajaan jatuh dan bertukar tangan.

“Yang rakyat nak lihat supaya kerajaan boleh fokus kepada perancangan dasar dan pembangunan negara. Jadi kestabilan politik sangat penting ketika ini,” katanya. – 10 September, 2023.

Topics

 

Hangat

Court orders MYAirline co-founder to repay over RM8mil to investors

Datuk Allan Goh and four associated companies are directed to return funds after failing to meet financial obligations to 15 investors

FAM dismisses talk of Nacho Mendez joining Harimau Malaya

FAM says it is not pursuing any process involving Mendez and has dismissed speculation linking the Spanish-born player to Harimau Malaya

Jaya Grocer invests RM100 million in Malaysia’s first automated grocery warehouse

Jaya Grocer announces its largest investment yet, a state-of-the-art automated warehouse in Selangor, set to revolutionize supply chain efficiency, create high-skilled tech roles, and support Malaysia's digital economy

Related