HEADLINES

Fasa penjualan 33 peratus saham Boustead Plantations Bhd akan diurus sebaik mungkin

Penjualan saham itu mustahak dan perlu dilaksanakan segera kerana membolehkan masalah aliran tunai serta hutang Boustead selesai sebelum tahun kewangan berakhir 31 Disember ini, sekali gus mengelakkannya muflis

7:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan bersama Kementerian Kewangan (MoF) akan menguruskan fasa penjualan pegangan 33 peratus saham Boustead Plantations Bhd (BPlant) kepada Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) menerusi cara terbaik.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, pengambilalihan saham itu juga belum sampai ke peringkat mendapat kelulusan Perdana Menteri.

“Saya sedang berunding dengan MoF cara terbaik untuk keluar daripada kemelut ini, iaitu pertama kita kena pastikan aliran tunai Boustead ini dapat diperbaiki dan boleh membayar dividen yang baik kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)

“Apabila ini dilakukan, nanti Boustead akan dapat memulangkan sejumlah besar pelaburan dibuat mereka kepada LTAT dan LTAT akan dapat jumlah kecairan tunai mereka lebih 50 peratus.

“Jadi jangan khuatir, kita sedang berunding dan cari jalan terbaik selesaikan masalah Boustead dan dalam masa sama, tidak mengadai tanah yang lama dipegang LTAT,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan beberapa ahli Parlimen yang mahu penjelasan berhubung rasional menjual saham Boustead kepada KLK, susulan ia didakwa tidak selari dengan komitmen untuk memperkasa ekuiti Bumiputera seperti dilaungkan.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, kerjasama strategik terbabit tidak membabitkan penjualan syarikat secara keseluruhannya, sebaliknya ia berhubung penjualan separa saham, iaitu 33 peratus dan LTAT masih berpeluang menjadi pemegang saham utama syarikat berkenaan.

“Dari perspektif LTAT, penjualan saham ini perlu dilaksanakan dengan segera kerana ia membolehkan masalah aliran tunai dan penyelesaian hutang Boustead dilaksanakan, sebelum tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

“Ini adalah mustahak bagi mengelakkan daripada bousted jadi muflis jika hutang tak dilangsaikan pada masa ditetapkan.

“Kerjasama strategik ini juga berpotensi mewujudkan pertambahan nilai tinggi kepada LTAT dan Boustead kerana mereka, diberi hak keutamaan untuk membangunkan dua ladang utama seluas 1,800 ekar dengan nilai pembangunan kasar RM8 bilion,” katanya.

Menurutnya, dari segi perspektif Boustead Plantations, meskipun syarikat mencatatkan keuntungan, beberapa tahun kebelakangan ia dijana melalui penjualan ladang.

“Oleh itu mereka memerlukan sumber kewangan lebih kukuh untuk memulakan penanaman semula. Ini memandangkan 49 peratus ladang Boustead berusia melebihi 20 tahun dan perlu dibuat penanaman semula.

“Disebabkan ini ladang Boustead mencatatkan penghasilan sawit mentah terendah dalam industri sawit, iaitu 13.3 tan per hektar berbanding ladang lain sehingga 20 tan per hektar,” katanya.

Bulan lalu, KLK memuktamadkan perjanjian kerjasama strategik (SCA) dengan LTAT dan Boustead Holdings Bhd (BHB), yang menyaksikan KLK mengambilalih 33 peratus saham BPlant dengan pertimbangan tunai RM1.15 bilion.

Menerusi SCA itu, tiga entiti berkenaan (penawar bersama) akan melaksanakan tawaran pengambilalihan mandatori untuk memperoleh semua baki saham BPlant yang tidak lagi dimiliki LTAT, BHB dan KLK pada harga tawaran tunai RM1.55 sesaham.

Jumlah 33 peratus pegangan itu akan membabitkan sejumlah 739,199,966 saham biasa dan satu saham daripada jumlah saham terbitan BPlant daripada BHB.

Harga tawaran nilai BPlant ditetapkan adalah pada RM3.47 bilion. – 18 September, 2023.

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related