◉ HEADLINES

HGHV sektor pertanian: Jamin keterjaminan makanan negara, realisasi matlamat RMK12

Beberapa program akan dilaksanakan di bawah HGHV, seperti pertanian moden, pertanian rendah karbon dan meningkatkan penglibatan golongan muda

8:49 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Inisiatif pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV) bagi sektor industri pertanian menerusi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) adalah antara usaha kerajaan dalam menangani isu keterjaminan makanan negara.

Pengarah Bahagian Pertanian Kementerian Ekonomi Datin Zaeidah Mohamed Esa berkata beberapa program akan dilaksanakan di bawah HGHV itu, seperti pertanian moden, pertanian rendah karbon dan meningkatkan penglibatan golongan muda termasuk Inisiatif Usahawan Tani (INTAN).

“Sasaran kita adalah untuk membuka 2,000 ekar (809.3 hektar) kawasan tanaman baharu menggunakan tanah terbiar untuk tingkatkan produktiviti pertanian dan pendapatan golongan terlibat. Kita juga mahu menceburi pertanian rendah karbon agar ia menjadi asas dan hala tuju pada RMK13 kelak.

“Setakat ini, menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) INTAN, sebanyak 12 projek termasuk 800 ekar (323.7 hektar) tanah telah diluluskan dalam tempoh enam bulan sejak ia dilaksanakan pada Febuari lepas,” katanya dalam rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV, malam tadi.

Beliau berkata menerusi projek itu, antara yang akan diberi fokus adalah tanaman yang mampu dihasilkan di negara ini, namun masih bergantung pada import. 

Berdasarkan data, Zaeidah berkata untuk 2022, hanya 23 daripada 53 item makanan yang dikeluarkan negara sudah mencapai kadar 100 peratus dengan kadar pengeluarannya memenuhi permintaan dalam negara.

“Kebergantungan import kita masih tinggi, nilai import untuk tahun 2021 adalah RM63.6 billion dan angka ini meningkat kepada RM75.6 billon pada 2022. Ini menunjukkan permintaan semakin tinggi dan trend pemakanan telah berubah.

“Apabila perkara ini tidak ditangani maka keterjaminan negara tergugat. Maka, apa yang kita ingin capai untuk KSP RMK12 menerusi HGHV ini adalah untuk tingkatkan ketersediaan, kebolehcapaian, penggunaan makanan dan kemampanan sektor industri pertanian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Ekosistem Pertanian Digital and Teknologi Dron, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Navin Sinnathamby berkata negara kini berada pada kedudukan yang terbaik untuk mengadaptasikan pertanian moden.

Katanya, bagi tahun ini setakat Disember, sebanyak 69 projek ke arah pertanian pintar berasaskan digital melibatkan 500 usahawan tani, akan dilaksanakan dengan mengadaptasikan automasi, mekanisasi dan digital.

“Teknologi digital ini adalah penarik kepada golongan muda, pertanian negara kini dalam peralihan daripada 3D (berbahaya, sukar dan kotor) ke 1D iaitu digitalisasi. Ini juga akan menjadi faktor pemangkin dalam meningkatkan penglibatan golongan belia, wanita dan pesara,” katanya.

Pada 11 September lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan KSP RMK12 di Parlimen bertemakan “Malaysia Madani: Mampan, Sejahtera dan Berpendapatan Tinggi”.

KSP RMK12 itu turut menggariskan HGHV bagi sektor Pertanian dan Industri Asas Tani bagi mengukuhkan kemandirian dan keterjaminan makanan serta meningkatkan daya saing sektor agrikomoditi. – 19 September, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

◉ Related