iTekad: Tambahan peruntukan bantu kumpulan B40 teruskan perniagaan kecil dan sederhana

5:26 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penambahan peruntukan geran untuk program kewangan sosial iTekad akan membantu lebih ramai golongan B40 untuk memulakan perusahaan kecil dan sederhana.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) Datuk William Ng berkata langkah itu juga dapat membantu mengurangkan kadar kegagalan dalam kalangan pengusaha seperti yang berlaku ketika ini.

“Dengan melibatkan peniaga secara aktif, menyediakan panduan perniagaan dan jika perlu, pinjaman mikro dan geran permulaan, kami akan meminimumkan kadar kegagalan dan memastikan lebih ramai peniaga kecil dapat bertahan dan berkembang maju,” katanya kepada Bernama hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan kerajaan akan menambah peruntukan geran sebanyak RM6 juta untuk program kewangan sosial iTekad bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) khususnya golongan B40.

Anwar berkata ini menjadikan jumlah bantuan keseluruhan iTekad untuk tahun ini sebanyak RM10 juta, meningkat daripada RM4 juta yang telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2023.

iTekad adalah program penaung yang diwujudkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan.

Setiap program iTekad menggabungkan penyediaan aset perniagaan yang dibiayai oleh instrumen kewangan sosial seperti derma, pelaburan impak sosial, zakat dan wakaf tunai dengan kewangan mikro, berserta latihan kewangan dan perniagaan yang berstruktur.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Mohamad Haris Kader Sultan berkata inisiatif itu membuka peluang pembiayaan tambahan kepada PMKS, khususnya golongan B40 yang juga merupakan kumpulan sasar untuk program pembangunan modal insan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Katanya, iTekad akan melengkapi inisiatif pembiayaan kewangan yang ditawarkan NCIA menerusi program entrepreneurNCER untuk membantu PMKS mengembangkan dan meluaskan pasaran perniagaan mereka bagi menyokong rantaian penawaran industri dan keperluan ekosistem di taman industri tematik di seluruh NCER.

Bagi Ahli Jawatankuasa Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBN) Sopiah Sudah berkata usaha yang dilakukan kerajaan itu akan membantu lagi golongan kontraktor, khususnya mereka yang masih baharu dalam industri berkenaan.

“Pengusaha baharu memerlukan suntikan modal bagi mengembangkan perniagaan mereka, apa yang diusahakan kerajaan ini akan banyak membantu dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini,” katanya.

Pengumuman itu turut melegakan golongan peniaga kecil, antaranya pengusaha kedai makan di Kuala Terengganu Norharizan Hassan, 44, yang berpendapat penambahan peruntukan itu akan  memudah cara pembiayaan dalam kadar kecil.

“Dengan keadaan ekonomi agak perlahan, ramai peniaga mengalami masalah modal dan kewangan lain disebabkan pengurangan jualan atau pelanggan. Menerusi iTekad ia memberi lebih pilihan kepada peniaga mendapatkan pembiayaan mengikut kesesuaian atau kemampuan mereka,” katanya.

Bagi peniaga kuih Rohaizi Yusof, 45, dia mencadangkan kerajaan mempermudah syarat pinjaman supaya tidak membebankan peniaga kecil seperti yang tidak mempunyai penyata hasil atau pendapatan tetap kerana keuntungan perniagaan sekadar ‘pulang modal’ dengan margin sangat kecil.

Pengusaha butik pengantin di Kuantan, Pahang Zaliman Jusoh, 50, pula berharap promosi dan penerangan berkaitan pemberian bantuan oleh kerajaan dan agensi berkaitan termasuk iTekad dibuat lebih aktif bagi memastikan ia sampai kepada golongan sasar.

“Saya juga berharap tempoh moratorium secukupnya dipertimbangkan kepada penerima yang layak bagi memastikan kewangan mereka kukuh dan telah meraih pendapatan mampan sebelum mula membayar semula pembiayaan diterima mereka,” katanya. – 23 Ogos, 2023

Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related