HEADLINES

Jadikan inovasi keutamaan tingkatkan pertumbuhan ekonomi: PM Anwar

Kerajaan akan menyokong bakat-bakat tempatan iaitu inovator yang ingin mengembangkan perniagaan mereka di rantau ASEAN atau lebih jauh

1:10 PM MYT

 

CYBERJAYA – Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam era digital dan teknologi yang semakin pesat malah aktiviti inovasi perlu dijadikan keutamaan dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata usaha mempromosikan inovasi dan teknologi tempatan perlu dipergiatkan supaya Malaysia dapat berdaya saing dengan negara-negara serantau dan pentas dunia.

Dalam ucapannya yang dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang pada majlis penutup InnoEx 2023 di sini hari ini, Anwar berkata Malaysia perlu mengambil pengajaran daripada negara lain dalam usaha mempergiatkan aktiviti inovasi.

China umpamanya telah meningkatkan usaha ke arah inovasi dan pada 2020, Information Technology and Innovation Foundation menyatakan bahawa inovasi China meningkat kepada kira-kira 75 peratus daripada keupayaan Amerika Syarikat, kata beliau.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN-India di Jakarta baru-baru ini, Anwar berkata beliau telah mencadangkan supaya kejayaan luar biasa India terutamanya dalam perbankan digital dan kewangan mereka di kawasan luar bandar dapat dikongsikan untuk manfaat semua negara anggota ASEAN.

“Mengambil teladan daripada mereka, kita mesti membangunkan dan memasarkan penyelesaian inovatif tempatan, membimbing bakat-bakat tempatan dan seterusnya menumpukan penyelesaian inovatif yang lestari.

“Pihak pemain industri juga mesti berusaha mencari penyelesaian inovatif yang boleh menurunkan kos, menjadi lebih cekap, dan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Anwar berkata industri pusat data pula perlu mempunyai keupayaan untuk beralih kepada tenaga hijau kerana ia penting bagi menggalakkan lebih banyak pihak mengambil inisiatif yang lestari dan seterusnya meneutralkan pelepasan karbon.

Di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), beliau berkata kerajaan telah menggariskan usaha peralihan kepada tenaga hijau antaranya melibatkan sektor automatif.

Selaras dengan kerangka Ekonomi Madani, Anwar berkata kerajaan akan terus menyokong usaha penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan syarikat tempatan dan syarikat pemula bagi mendorong mereka mencapai kejayaan lebih besar dan meraih pengiktirafan antarabangsa.

“Kerajaan juga akan memudah cara industri untuk membawa masuk pelaburan dan menyokong penggunaan teknologi melalui automasi, kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin bagi meningkatkan produktiviti,” katanya. 

Beliau berkata kerajaan juga akan menyokong bakat-bakat tempatan iaitu inovator yang ingin mengembangkan perniagaan mereka di rantau ASEAN atau lebih jauh. 

“Sudah tiba masanya kita julang dan bimbing inovator tempatan menempa nama di pasaran serantau dan merebut segala peluang yang ada di luar sana.

“Kita mahu mengangkat semula darjat dan martabat negara Malaysia, untuk menjadi sebuah negara yang inovatif, maju dan lestari dengan masyarakat yang cakna dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan,” katanya. – 9 September, 2023

Topics

 

Hangat

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related