◉ HEADLINES

JKPK hanya undang Peguam Negara, bukan beri arahan

7:41 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi tidak pernah mengeluarkan sebarang perintah kepada Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan bekas Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun untuk hadir ke prosiding jawatankuasa itu. 

Pengerusi JKPK itu, William Leong Jee Keen sebaliknya menjelaskan kedua-dua mereka hanya dijemput untuk terlibat dalam mesyuarat jawatankuasa itu serta membantu JKPK memahami beberapa isu berhubung kekhuatiran terhadap percanggahan kuasa dan kepentingan, terutamanya melibatkan kes-kes berprofil tinggi. 

Beliau berkata JKPK juga menghormati kuasa peguam negara dalam menjalankan budi bicara untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan sebarang prosiding mahkamah selaras dengan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Undangan kepada mereka adalah untuk membantu JKPK ini memahami beberapa isu berhubung kekhuatiran terhadap percanggahan kuasa dan kepentingan yang timbul, terutamanya berkaitan kes-kes berprofil tinggi.

“(Ini kerana) Peguam Negara merupakan penasihat undang-undang utama kepada kerajaan dan pada masa yang sama sebagai Pendakwa Raya seperti yang digariskan di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376 Kanun Acara Jenayah, khususnya berkaitan dengan implikasi dan cadangan terhadap pemisahan kedua-dua peranan dan tugas tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Leong berkata JKPK akan turut menjemput beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH),  Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan lain-lain untuk menghadiri mesyuarat.

Pada masa sama, beliau berkata Jemaah Menteri juga telah bersetuju untuk merujuk skop dasar bagi Rang Undang-undang Sumbangan Politik kepada JKPK itu.

Sehubungan itu, JKPK akan melihat serta mengkaji cadangan Akta Pembiayaan Politik bagi terus memastikan institusi demokrasi di Malaysia bebas daripada kegiatan tidak sihat dan tidak berdemokrasi.

Leong juga menzahirkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said atas inisiatif menubuhkan dua pasukan petugas untuk meneliti dan mengkaji cadangan memisahkan Pendakwa Raya daripada pejabat Peguam Negara.

Menurutnya JKPK yang diwakili Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang mampu menyumbang secara konstruktif terhadap cadangan itu.

Beliau berkata langkah melibatkan Ahli Parlimen dalam pasukan petugas itu secara tidak langsung menandakan perkembangan yang sihat terhadap demokrasi berparlimen di Malaysia, terutamanya berkaitan isu-isu reformasi institusi. – 14 September, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Melaka schools to reopen on Oct 12 as API readings fall below 100

Air quality readings at all three monitoring stations in the state remain in the moderate range, with parents advised to monitor their children's health

HSBC, Public Bank offer interest-free moratorium to families of 54 Malaysians missing in Nepal

MASFIH seeks urgent talks with the Attorney General’s Chambers and Wisma Putra as families mark 50 days since the disaster, seeking financial relief, legal clarity and updates on the verification process

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

◉ Related