HEADLINES

King Sing tegur Sanusi, cari kaedah promosi pelancongan Kedah, bukannya keluar kenyataan angkuh

Menurutnya, sudah menjadi tugas dan kewajipannya sebagai menteri untuk melawat setiap negeri bagi memahami masalah dihadapi industri pelancongan tempatan

3:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegur Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kerana berulang kali mengeluarkan kenyataan angkuh sehingga berupaya menjejaskan industri pelancongan dan kemerosotan ekonomi di Kedah.

Menurutnya, sekiranya trend itu berterusan, ia juga menjurus kepada sensitiviti kaum dan agama lain.

“Apabila menyentuh mengenai permasalahan yang ada, semua pihak bertanggungjawab untuk mengambil perhatian serius dan mencari jalan penyelesaian.

“Maka bukannya bertindak terburu-buru, menafikan usaha mana-mana pihak atau hanya pejam mata seolah-olah tiada apa yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas beliau lagi, kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan PAS mempunyai hak melarang orang bukan Islam berpakaian tidak sopan, seolah-olah menunjukkan kuasa pihak tertentu boleh digunakan tanpa menghiraukan sensitiviti kaum yang lain.

“Keadaan ini pastinya menyebabkan pelancong asing merasakan hak dan kebebasan mereka diancam, lalu menyebabkan mereka tidak berminat untuk melawat ke Malaysia.

“Jika situasi sebegini tidak ditangani segera, ia dikhuatiri akan menjadi krisis yang lebih besar suatu hari. Insiden seorang wanita di Kelantan yang dikenakan kompaun kerana berseluar pendek di premisnya sendiri boleh dijadikan iktibar,” katanya.

Terdahulu, Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah menjemput King Sing ke Langkawi susulan kenyataannya di Dewan Rakyat pada 19 September lalu mendakwa beberapa pegawai kerajaan di negeri itu ‘mengganggu’ pelancong berhubung etika berpakaian dan pengambilan alkolhol.

Sanusi bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan memaklumkan kerajaan Kedah tidak akan menyiasat perkara berkenaan kerana menyifatkan dakwaan King Sing tidak berasas.

King Sing kemudiannya berkata, sudah menjadi tugas dan kewajipannya sebagai menteri untuk melawat ke setiap negeri bagi memahami masalah dihadapi industri pelancongan tempatan.

“Namun, saya percaya sekiranya menteri boleh mendapati isu sedemikian berlaku semasa turun padang, maka ia menunjukkan bahawa masalah tersebut sudah menjadi semakin besar dan serius.

“Sebagai ‘ketua keluarga’ di Kedah, Sanusi sepatutnya mengutamakan kebajikan penduduk Kedah dalam segala hal dan bekerjasama serta menjalin komunikasi dengan Hadi selaku ‘ketua keluarga PAS’ dalam mencari kaedah untuk mempromosikan pembangunan positif negeri itu,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan apa yang dibangkitkannya itu adalah semata-mata untuk menambahbaik serta memperbaiki kelemahan yang ada melibatkan industri pelancongan di seluruh negara, bukannya hanya tertumpu di negeri tertentu seperti Kedah.

“Kita tidak boleh menafikan kelemahan yang wujud, termasuk ketirisan dan penyalahgunaan kuasa pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan sendiri.

“Kita semua perlu memainkan peranan bersama-sama bagi memastikan kejadian yang negatif atau tidak membawa manfaat malah merugikan negara sepatutnya tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.

Justeru, beliau turut menggesa semua pihak agar berganding bahu dan mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara aman, harmoni, unik serta kaya dengan khazanah yang tiada di negara lain.

“Jangan sesekali gambarkan Malaysia sebagai negara ekstrem dan dikuasai pelampau agama serta kaum tertentu, hanya kerana kemaruk meraih publisiti sendiri tanpa menghiraukan kesan buruk yang menimpa negara sehingga merugikan rakyat.

“Kita tidak boleh memaksa pihak lain mengikuti kepercayaan kita dan hak seseorang itu sudah dilindungi dalam Perlembagaan Persekutuan. Marilah kita bekerjasama mempromosikan industri pelancongan Malaysia dan mengembalikan semula kegemilangannya,” katanya. – 26 September, 2023

Topics

 

Hangat

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

12 hours on the road no guarantee for liveable wages, say several food delivery riders

Long working hours and cut-throat remuneration structure have been a bane for food delivery riders recently with some considering to leave their current service platform for another – or find a new job altogether.

‘Robbed again’: Johor Orang Asli accuse trustees of misusing RM6mil from land compensation fund

Linggiu Valley community files MACC report, claiming decades-old RM38.5mil trust meant for their families has been abused repeatedly

Related