◉ HEADLINES

Pelantikan exco: Tiada isu tidak puas hati, hubungan Bersatu-PAS Kedah sangat baik

Khairul Anuar berkata, sekiranya wujud sebarang permasalahan, sudah pasti sebilangan Adun Bersatu tidak akan datang ketika majlis angkat sumpah

10:30 AM MYT

 

KUALA LUMPUR– Perikatan Nasional (PN) menyangkal dakwaan wujud keretakan hubungan dan ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli gabungan itu di Kedah, susulan hanya tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Bersatu di negeri berkenaan, dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco).

Ketua Penerangan PN Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, dakwaan bahawa wakil rakyat daripada Bersatu tidak berpuas hati kerana perkara itu dan akan memboikot anggota exco baharu pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor juga tidak benar.

Menurutnya, ia terbukti apabila semua Adun Bersatu hadir di Wisma Darul Aman selepas majlis angkat sumpah diadakan di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah hari ini.

“Dakwaan itu tidak menggambarkan keadaan sebenar apa yang berlaku kerana hubungan antara Bersatu dan PAS di Kedah sangat baik. Tidak timbul langsung sebarang isu masalah dalaman (atau perpecahan) sedang berlaku.

“Sekiranya wujud sebarang permasalahan, sudah pasti sebilangan Adun Bersatu tidak akan datang, namun semua wakil rakyat parti itu dan PAS berhimpun di Wisma Darul Aman ketika majlis angkat sumpah sedang berlangsung,” katanya ketika dihubungi Scoop.

Ketua Penerangan Bersatu Kedah itu berkata, perkara berkenaan membuktikan bahawa tuduhan terbabit hanyalah polemik politik yang seolah-olah dicetuskan bagi mewujudkan perpecahan dalam kalangan parti komponen PN.

“Buat apa untuk Bersatu memboikot barisan exco Kedah atau majlis angkat sumpah, kita sudah pun menjadi sebahagian kerajaan negeri sekarang.

“Jika ada berlaku sebarang konflik atau ada perkara tidak berpuas hati, sudah pastinya kita akan selesaikan segala permasalahan yang timbul menerusi perbincangan meja bulat,” katanya.

Terdahulu, wujud desas-desus ketidakpuasan hati dalam kalangan Bersatu apabila hanya tiga jawatan itu diperuntukkan kepada parti berkenaan, berbanding lima yang diluluskan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Sumber dalam Bersatu dilaporkan berkata, pihaknya kesal apabila hanya tiga wakil parti itu bakal dilantik ke jawatan exco, selepas menyumbang 11 kerusi dalam kemenangan PN di Kedah pada 12 Ogos lalu.

Terdahulu, seramai 10 Adun mengangkat sumpah sebagai exco di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Menghadap Besar, Istana Anak Bukit.

Berdasarkan senarai pelantikan itu, hanya Adun Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani; Adun Kubang Rotan, Datuk Salleh Saidin dan Adun Bukit Kayu Hitam, Datuk Halimaton Shaadiah Saad dipilih sebagai exco dalam kalangan Bersatu.

Mengikut komposisi parti, selain Bersatu, PAS dilihat memiliki tujuh exco termasuk Sanusi yang memegang lapan portfolio dibawahnya dan seorang daripada wakil Gerakan. – 22 Ogos, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Budget 2026: RM580m boost for sports development

Funding will strengthen elite programmes, prepare for the 2027 SEA and Asean Para Games, and upgrade facilities while expanding support for para-athletes

‘Tambah spot busking di Bukit Bintang’ Bob Sentuhan Buskers mohon DBKL beri pertimbangan

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta menambah lagi ‘spot’ untuk pemuzik jalanan di ibu kota mengadakan persembahan terutama di kawasan sekitar Bukit Bintang yang menjadi tumpuan pelancong luar.

Noki K-Clique sedang mengenali seorang pelakon wanita, rancang berkahwin usia 30 pada tahun hadapan

Melihat rakan-rakan seperjuangan lain sudah mendirikan rumahtangga, ia membuatkan rapper dan juga pelakon, Noki K-Clique berasa tertekan serta mahu mengikut jejak langkah yang sama

◉ Related