HEADLINES

Pemasangan CCTV dipertimbang jadi syarat wajib perbaharui lesen taska

Datuk Seri Nancy Shukri berkata KPWKM merancang untuk menguatkuasakan undang-undang CCTV di setiap premis taska berdaftar bagi menangani isu penderaan kanak-kanak

7:07 PM MYT

 

SEMATAN – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat  (KPWKM) sedang mempertimbangkan untuk menjadikan pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) sebagai syarat wajib dalam proses memperbaharui lesen premis taska berdaftar yang perlu dilakukan setiap lima tahun. 

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah penguatkuasaan itu perlu diambil bagi menangani kes penderaan kanak-kanak di premis taska meskipun kerajaan sebelum ini sudahpun mewajibkan pemasangan CCTV kepada pengusaha taska di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012. 

“Bagaimanapun, ada juga di antara mereka (pengusaha taska) yang tidak memasangnya walaupun sudah diminta supaya patuhi syarat itu. Jadi kami sedang berbincang untuk ambil tindakan dengan tidak memperbaharui lesen taska yang tidak memasang CCTV,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penangguhan Pesta Sematan di sini, hari ini. 

Menurutnya, perbincangan berhubung perkara itu akan dilakukan melibatkan agensi, jabatan dan pemain industri yang terlibat esok (Isnin). 

“Kos untuk pemasangan CCTV tidak sepatutnya menjadi isu kerana CCTV sekarang boleh didapati dengan harga yang murah. Oleh itu, kami nak mendengar maklum balas dan bagaimana kami akan perhalusi perkara ini, sebelum kami teruskan pelaksanaannya,” katanya. 

Dalam pada itu, Nancy berkata langkah untuk menutup taska yang terlibat dengan kes penderaan perlu diteliti secara mendalam kerana ia akan turut memberi kesan kepada ibu bapa yang bekerja dan menghantar anak mereka ke taska terbabit.

“Kita akan memberi beban kepada ibu bapa (lain) jadi kita tidak boleh tutup begitu sahaja hanya kerana satu kes itu,” katanya. 

Pada Jumaat, menteri itu berkata KPWKM merancang untuk menguatkuasakan undang-undang CCTV di setiap premis taska berdaftar bagi menangani isu penderaan kanak-kanak.

Katanya dalam enam bulan pertama tahun ini, Malaysia mencatatkan sejumlah 3,767 kes melibatkan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

Mengenai Pesta Sematan 2023, Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata pesta berkenaan mampu menjadikan pekan terakhir yang terletak di penghujung sebelah barat Borneo itu sebagai destinasi tarikan pelancong.

“Kawasan ini mempunyai banyak tempat menarik dan pelbagai acara yang diadakan sempena pesta ini seperti perlumbaan basikal pastinya menarik peserta dari luar Sarawak sekali gus menyumbang kepada industri pelancongan,” katanya. – 13 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related