◉ HEADLINES

Saya bangga bila anak seni kini bebas bersuara dan ceburi politik: Afdlin Shauki

Artis juga mempunyai ‘otak’. Mereka mempunyai pandangan, visi dan misi tentang bagaimana untuk memperbaiki negara

4:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Produser dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki Aksan bangga kerana semakin ramai artis sudah mula berani bersuara memilih parti pilihan mereka selain bertanding sebagai wakil rakyat.

Berbanding zaman sebelum ini, Afdlin berkata, artis berasa takut untuk menyuarakan pendirian politik mereka kerana bimbang hilang job dan kerajaan yang memerintah pada waktu itu akan menyekat rezeki serta peluang mereka.

“Tetapi, artis juga mempunyai ‘otak’. Mereka juga mempunyai pandangan, visi dan misi tentang bagaimana untuk memperbaiki negara ini.

“Alhamdulillah, kerajaan sudah buka jalan kepada anak-anak seni untuk sama-sama terlibat dalam proses pembinaan negara. Bahkan, semakin ramai di antara mereka yang bertanding sebagai calon wakil rakyat untuk parti masing-masing,” katanya ketika dihubungi Scoop, di sini, hari ini.

Salah seorang artis yang bertanding pada PRN kali ini adalah Altimet atau Syed Ahmad Alhadad yang mewakili PH di DUN Lembah Jaya.

Mengulas lanjut, Afdlin yang juga Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Media Sdn Bhd berkata, biarpun ada di kalangan anak-anak seni yang berbeza parti atau idealogi politik, tetapi ia bukan suatu halangan untuk mereka bekerjasama di dalam industri kreatif tanah air.

“Misalnya, kita ada S. Gana Pragasam yang dulunya pernah membintangi filem Appalam versi Tamil Papadom yang saya arahkan. Gana tercalon sebagai wakil DUN Subang Jaya untuk Perikatan Nasional (PN). Dia hubungi saya sendiri menyatakan bahawa dia bakal bertanding.

“Saya bangga dengan dengan beliau dan saya kata kepada dia: All the best to you. Tidak kira anda di parti mana sekali pun, tapi setidak-tidaknya anak seni juga mempunyai tempat dalam politik.

“Selain guru, penjawat awam, ahli perniagaan atau orang korporat, anak-anak seni juga ada benda yang boleh disumbangkan kepada negara dan tidak hanya dilihat sebagai suatu selingan setiap kali Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Negeri.

“Itu yang saya hargai dengan PMX (Perdana Menteri) kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau sangat menghargai orang-orang seni,” katanya.

Jelas Afdlin lagi, masyarakat juga sepatutnya membuang jauh persepsi yang mengatakan bahawa orang-orang seni tidak pandai kerana tidak belajar tinggi.

“Kerana kalau kita membuat analisa, ternyata ramai anak-anak seni yang belajar tinggi tetapi lebih memilih untuk menceburkan diri dalam bidang seni kerana minat dan ‘passion’.

“Contoh paling jelas adalah Fahmi Fadzil sendiri. Beliau sebetulnya adalah penggiat seni yang berjaya menjadi Menteri. Bahkan, beliau adalah artis pertama yang jadi Menteri. Walaupun tidak popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, namun beliau bermula sebagai seorang artis,” katanya. – 6 Ogos, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Malaysia Airlines, SIA join rush to cancel Middle East flights as Iran-US-Israel strikes escalate

More countries announce airspace closures as carriers suspend flights on Feb 28 and March 1, passengers reminded to check for updates on subsequent flights

Melaka schools to reopen on Oct 12 as API readings fall below 100

Air quality readings at all three monitoring stations in the state remain in the moderate range, with parents advised to monitor their children's health

◉ Related