◉ HEADLINES

Usah keluar ‘fatwa’ sendiri elak kekeliruan, perbalahan

Menurut khutbah itu, fatwa hendaklah membawa kepada kestabilan dan keamanan sesebuah negeri atau negara

9:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Khutbah Jumaat di Selangor hari ini mengingatkan umat Islam supaya tidak mengeluarkan ‘fatwa’ sendiri secara terburu-buru dengan mendahului pihak berautoriti bagi sesuatu perkara yang masih samar.

Menurut khutbah itu yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), lebih parah jika pandangan dikeluarkan itu dilihat mempunyai kepentingan peribadi atau memberi kelebihan kepada kumpulan tertentu, tanpa meraikan maslahah kesatuan umat Islam secara keseluruhan.

“Fatwa bukanlah bicara biasa yang boleh dikeluarkan oleh sesiapa sahaja, bahkan ia merupakan suatu tanggungjawab yang amat berat untuk dipikul oleh seseorang yang mengeluarkannya di hadapan Allah SWT.

“Mengeluarkan fatwa bererti mengeluarkan Hukum Syarak mewakili Allah SWT dan RasulNya. Jika tidak memiliki keilmuan dan kebijaksanaan yang tinggi, maka janganlah sesekali berkongsi pandangan dan maklumat berkaitan Hukum Syarak di tengah masyarakat,” katanya.

Tegas khutbah itu, fatwa hendaklah membawa kepada kestabilan dan keamanan sesebuah negeri atau negara.

Jelasnya, fatwa juga perlu bersifat menyelesaikan masalah dan merungkai persoalan yang timbul di tengah-tengah masyarakat.

“Sebaliknya, bukan fatwa sekiranya pandangan yang dibuat oleh golongan berkepentingan, ahli politik, pelampau agama, golongan sesat dan orang-orang jahil, kebiasaannya akan menyebabkan perpecahan, keganasan, kekusutan serta mencetus kebimbangan kepada masyarakat.

“Di Selangor, fatwa dikeluarkan bukan atas dasar pandangan individu seorang mufti semata-mata. Bahkan ia dibuat secara kesepakatan majoriti ahli Jawatankuasa Fatwa Selangor yang terdiri daripada para alim ulama dan mereka yang pakar dalam bidang masing-masing,” katanya.

Khutbah Jumaat itu turut memaklumkan mengeluarkan fatwa dan pandangan Hukum Syarak adalah satu tanggungjawab yang amat berat dan ia bukanlah suatu perkara yang remeh serta tidak bernilai.

Justeru, katanya, tidak hairanlah jika para ulama terdahulu seboleh-bolehnya akan mengelak daripada mengeluarkan fatwa selagi tidak diakui keahlian mereka dalam bidang tersebut.

Menurut khutbah itu, bagaimanapun amat malang dan sedih sekali pada zaman ini, keberanian mengeluarkan pendapat seolah berfatwa terutamanya dalam pengucapan dan melalui media sosial, melebihi ilmu dan kelayakan yang ada.

“Lihat saja jika timbul isu baharu yang dibahaskan di media sosial, kita akan dapati seribu ‘mufti alam maya’, akan muncul memberikan komen tanpa asas ilmu yang kukuh, seterusnya menyebabkan kekeliruan dan perbalahan.

“Bukanlah sifat seorang ulama’ atau mufti itu untuk memberi komen atau pandangan dalam semua hal. Mereka cukup berhati-hati dan akan memikirkan kesannya,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan ‘fatwa’ bahawa haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.

Tindakan itu bagaimanapun dikecam ramai kerana disifatkan seolah-olah mempermainkan hukum agama demi kepentingan politik.

Muhyiddin bagaimanapun menjelaskan ucapannya dalam ceramah semasa PRK Parlimen Pulai diambil secara luar konteks dan dimanipulasi pihak tertentu untuk mengelirukan orang ramai. – 15 September, 2023

Topics

 

◉ Hangat

Jho Low is now ‘Constantinos Achilles’, lives luxuriously in Shanghai: US reporters

The former playboy financier linked to 1MDB scandal is allegedly using a fake Aussie passport to move around China

[UPDATED] BAC files for judicial review after 17 law grads barred from CLP exam

This as qualifying board has deemed them ineligible to sit for certificate as they had not spent at least a year of their degree in UK, as mandated by their course

Gunung Jerai: unearthing its history, unveiling its mystery

The word “Gunung Jerai” or “Mount Jerai” has been a familiar term since I embarked on a quest to explore Malaysian history and heritage. This site is however not within the radar of most local or foreign tourists.

◉ Related