HEADLINES

Rapid Bus lantik Syahrul Azmir sebagai CEO baharu, berkuat kuasa hari ini

Syahrul Azmir mempunyai pengalaman lebih 27 tahun dalam industri logistik, rantaian bekalan dan pengangkutan serta pernah menerajui beberapa organisasi terkemuka termasuk Aramex Malaysia, RUAG Aviation Malaysia, Kerry Logistics, OBYU Holding dan Kontena Nasional Berhad

12:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) mengumumkan pelantikan Syahrul Azmir Ahmad Zaki sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa hari ini, hari ini.

Rapid Bus dalam kenyataannya berkata, pelantikan Syahrul Azmir dibuat ketika Rapid Bus terus memperkukuh usaha meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan, memperluaskan penggunaan bas elektrik serta mempertingkat pengalaman perjalanan jutaan pengguna Rapid KL dan Rapid Penang.

“Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyediakan perkhidmatan bas awam yang lebih selamat, cekap, mampan dan berorientasikan pelanggan,’’ katanya.

Menurut Rapid Bus, Syahrul Azmir mempunyai pengalaman lebih 27 tahun dalam industri logistik, rantaian bekalan dan pengangkutan serta pernah menerajui beberapa organisasi terkemuka termasuk Aramex Malaysia, RUAG Aviation Malaysia, Kerry Logistics, OBYU Holding dan Kontena Nasional Berhad.

“Beliau mempunyai kepakaran dalam pengurusan operasi berskala besar, penyelenggaraan aset, strategi korporat serta pelaksanaan inisiatif transformasi yang meningkatkan kecekapan operasi dan prestasi organisasi,’’ katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Rapid Bus, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata pelantikan Syahrul Azmir hadir pada masa yang tepat ketika syarikat terus memperkukuh sistem perkhidmatan bas awam bagi memenuhi keperluan mobiliti masyarakat yang semakin berkembang.

“Pengalaman luas Syahrul Azmir dalam menerajui operasi berskala besar serta memacu transformasi organisasi diyakini akan memperkukuh lagi usaha Rapid Bus meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan, mempertingkat pengalaman pelanggan serta mempercepatkan agenda pendigitalan dan kemampanan syarikat.

“Kami yakin beliau mampu membawa Rapid Bus ke tahap yang lebih cemerlang dalam memenuhi keperluan pengguna dan menyokong aspirasi pengangkutan awam negara,” katanya.

Di bawah kepimpinan beliau, Rapid Bus akan memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi operasi, pengukuhan pengalaman pelanggan, pembangunan modal insan serta penyampaian perkhidmatan yang lebih responsif dan berdaya harap.

Keutamaan ini akan disokong melalui peluasan penggunaan bas elektrik, transformasi digital serta pengukuhan rangkaian first and last mile bagi memudahkan perjalanan pengguna.

Sementara itu, Rapid Bus turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerjanya atas komitmen dan dedikasi dalam memastikan kesinambungan operasi serta penyampaian perkhidmatan terbaik kepada jutaan penumpang setiap hari.

Selaras dengan aspirasi Kumpulan Prasarana dan agenda kerajaan untuk memperkukuh sistem pengangkutan awam negara, Rapid Bus, berkata ia akan terus memainkan peranan penting dalam menyediakan sistem mobiliti bandar yang moden, inklusif, mampan dan diyakini, sekali gus menggalakkan lebih ramai masyarakat memilih pengangkutan awam sebagai mod perjalanan harian. – 15 Julai, 2026

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Related