HEADLINES

Kerajaan mohon lucut hak wang akaun Ilham Tower dan individu dikaitkan kes Tun Daim

Peguam responden mohon penangguhan kerana kes berkaitan sedang dirujuk ke Mahkamah Persekutuan

5:16 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah memfailkan permohonan untuk melucut hak wang dalam akaun bank milik Ilham Tower Sdn Bhd serta seorang individu yang sedang disiasat berhubung kes melibatkan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

Permohonan berkenaan difailkan secara berasingan oleh pihak pendakwa raya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 28 November dan 3 Disember lalu, dengan menamakan Ilham Tower dan seorang wanita sebagai responden.

Menurut notis permohonan, wang yang disita pada 31 Mei 2024 dimohon dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia berdasarkan kuasa di bawah Seksyen 41(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah.

Pendakwa raya berpendapat harta tersebut diperoleh hasil daripada atau berkaitan dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan kepada Hakim Azura Alwi bahawa pihaknya turut memohon perintah warta bagi memanggil mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan terhadap harta berkenaan hadir ke mahkamah, selaras dengan Seksyen 41(2) Akta SPRM 2009.

Peguam Nizamuddin Hamid, yang mewakili kedua-dua responden, memohon agar prosiding pelucutan hak ditangguhkan kerana terdapat kes lain yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi, termasuk rujukan ke Mahkamah Persekutuan mengenai keabsahan Seksyen 36 Akta SPRM.

“Terdapat permohonan semakan kehakiman dengan kebenaran terhadap penyitaan akaun-akaun berkaitan di bawah Seksyen 37 Akta SPRM,” katanya.

Beliau turut memohon perintah perlindungan sementara supaya nama responden, nama bank, nombor akaun dan jumlah wang tidak didedahkan bagi mengelakkan kesan buruk terhadap hubungan perbankan mereka.

Mahadi dalam responsnya menegaskan bahawa kes ini adalah berprofil tinggi dan masyarakat berhak mengetahuinya, namun tidak membantah sekiranya maklumat berkaitan bank dan nilai wang tidak didedahkan.

Hakim Azura kemudiannya membenarkan permohonan perintah perlindungan sementara dan menetapkan 12 Februari 2026 bagi prosiding warta pihak ketiga yang mempunyai kepentingan untuk hadir ke mahkamah dan menyatakan alasan mengapa wang tersebut tidak sepatutnya dilucut hak kepada kerajaan. – 18 Disember, 2025

Topics

 

Popular

KWAP duped in RM200m eFishery scam, Anwar confirms

Prime Minister Anwar Ibrahim says the RM200 million eFishery investment was a deliberate fraud, prompting lawsuits, fund recovery efforts and tighter controls to protect civil service pensions

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Govt has settled RM42bil of 1MDB debt, total obligations exceed RM50bil: Anwar

Anwar reveals over RM9 billion in remaining debt, with government funds covering the shortfall

Related