PKR sudah muak dengan Datuk Seri Rafizi Ramli. Perkara yang bukan saja sudah dijangka buat menteri ekonomi terbabit, malah sudah terang lagi bersuluh.
Hakikat bahawa Puteri Reformasi Nurul Izzah Anwar telah diberi mandat untuk mencabar orang nombor dua parti itu, menjelaskan bahawa parti telah putus kasih dengan ‘wonderboy’ gerakan Reformasi suatu ketika dahulu.
Apa yang mengejutkan tentang keputusan Nurul Izzah untuk bertanding ialah dia berbuat demikian berikutan desakan pelbagai pihak dalam PKR. Daripada pemimpin bahagian ke bahagian negeri kepada pemimpin sayap, ramai yang menggesa bekas ahli parlimen Permatang Pauh itu untuk mencabar Rafizi, ahli parlimen Pandan, bagi merebut jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat pada 23 Mei ini.
Memandangkan beberapa sekutunya telah tewas dalam pemilihan bahagian parti sudah cukup menunjukkan bagaimana peluang Rafizi nanti.
“Saya rasa ahli sudah cukup sabar dengan perangai suka merajuk, meragam dan menghilangkan diri beliau,” kata seorang ahli kanan parti.
“Kami memerlukan pemimpin yang matang dan berkesan,” katanya, merujuk kepada kecenderungan Rafizi yang sukar dikesan ketika dia amat diperlukan.

Ketika negara berdepan krisis ekonomi diikuti serangan tarif, menteri ekonomi memutuskan untuk bercuti.
Sama ada membabitkan perjalanan perdagangan Perdana Menteri atau usaha ke atas tarif timbal balas, persoalan di bibir semua orang ialah “di manakah Rafizi?”
Seorang menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ekonomi sepatutnya menjelaskan kepada rakyat bagaimana tarif Trump akan menjejaskan kehidupan mereka, namun Rafizi tidak muncul pada Sidang Khas Parlimen mengenai tarif AS pada 5 Mei. Bagaimanapun, beliau hadir pada mesyuarat parti sehari sebelumnya.
Banyak menceritakan tentang keutamaannya.
Sebaliknya, kita mempunyai seorang senator dalam bentuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang memberi jaminan kepada orang ramai, pergi ke Washington, dan menerangkan bagaimana kita akan mengharungi tempoh ketidaktentuan ini.
Tindakannya yang hilang dari radar (MIA) ketika negara berdepan isu tarif tidak dapat tidak menjadikan Rafizi tumpuan sekali gus dipersoalkan kapasitinya sebagai seorang menteri.
Beliau telah ditugaskan untuk menerajui penghapusan subsidi RON95 yang disasarkan, mendaftarkan rakyat Malaysia dengan Hab Pangkalan Data Utama (PADU) kerajaan, dan menerajui Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat Malaysia yang miskin.
Tetapi kini, kita tertanya-tanya: apakah perkembangan inisiatif ini?
Berapakah bilangan keluarga B40 yang telah mendapat manfaat daripada IPR sehingga kini?
Rafizi dilaporkan berkata tahun lepas pembangunan dan pelaksanaan sistem PADU selama tiga tahun bermula 2023 hingga tahun ini dijangka menelan belanja RM85.27 juta.
Berapa ramai rakyat Malaysia yang berdaftar dengan PADU setakat ini? Adakah isu keselamatan siber yang dibangkitkan pada masa lalu mengenai pangkalan data telah diperbetulkan sepenuhnya? Adakah PADU benar-benar kalis pincang?
Rafizi sepatutnya menjawab soalan-soalan ini, kerana prestasi PADU mampu memberi kesan buruk kepada kerajaan Madani.

Ini adalah lelaki sama yang pada satu ketika pernah berdepan kesan tindakan undang-undang kerana membangkitkan isu National Feedlot Corporation (NFC) dan skandal 1 Malaysia Development Bhd (1MDB), sehingga menjadikannya terkenal.
Ini adalah orang sama yang menghidupkan semula PKR pada 2022 dengan kempen “Ayuh Malaysia” selepas ia terkesan dengan pembelotan bekas pemimpin dan kekalahan dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor.
Dengan segala pencapaian dan pengorbanannya demi parti dan negara selama ini, agak menghairankan kerana Rafizi seolah mensabotaj legasinya sendiri.
Apa yang lebih membimbangkan adalah ketiadaan Rafizi di sini seolah-olah kesinambungan trend masa lalu, di mana dia pernah menghilangkan diri di saat-saat genting.
Ini adalah orang yang sama yang pernah menghilangkan diri dan tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai Naib Presiden PKR ketika parti memerlukannya, terutama sebelum pilihan raya umum 2018.
Pada pemilihan PKR terakhir pada 2018, Rafizi tewas kepada penyandang Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali.
Beliau bagaimanapun dilantik sebagai Naib Presiden dalam majlis pimpinan pusat PKR bagi sesi 2018-2021.
Namun pada 10 Disember 2019, Rafizi meninggalkan parti untuk memberi tumpuan kepada syarikat pemula (start-up), Invoke.
Walaupun selepas Langkah Sheraton 2020, Rafizi masih tidak kelihatan sehingga pemilihan PKR 2022, apabila beliau muncul kembali untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Rakyat Malaysia sedang mencari kepimpinan yang mantap dalam keadaan ekonomi yang merudum. Bukan tingkah laku yang tidak menentu daripada seseorang yang berpotensi dan berkeinginan untuk menjadi Perdana Menteri.
Masalahnya dengan Rafizi ialah, dia tidak ada kelebihan (leverage) untuk mengatakan “my way or the highway”.
Rafizi terlalu yakin, begitu juga kempen penyokongnya yang indah khabar dari rupa.
Pada akhirnya kebenaran akan terserlah dan ramai menyedari bahawa ia tidaklah gah seperti yang dicanang. – 12 Mei 2025
R.Dineskumar ialah wartawan Scoop cawangan utara

