“PETRONAS tak ada duit,” demikian pandangan seorang Gen Z apabila ditanya mengenai rancangan syarikat itu untuk memberhentikan 5,000 pekerja. Untuk bersikap adil, dia tidaklah arif dengan syarikat itu, seperti kebanyakan orang, interaksinya hanyalah setakat mengenali jenama sebuah stesen minyak dan iklan video perayaannya.
Petronas kehabisan wang boleh diandai sebagai satu anggapan yang salah, namun berita mengenai pemberhentian pekerja cenderung membicarakan naratif yang sama, paling jelas keadaan syarikat ketika ini tidak baik – Petronas sedang berdepan masalah kewangan; Sarawak mengambil alih perniagaannya; ia perlu menyelamatkan Kerajaan atau GLC, sekali lagi; pelaburannya tidak begitu menjadi, ia kehabisan wang; dan sebagainya.
Ia adalah isu yang bagus untuk orang ramai membuat spekulasi dan diulas sang pengkritik. Lagipun, Petronas adalah kesayangan kita, kisah kejayaan negara, manifestasi Malaysia Boleh.
Oleh itu, kita berasa teruja dan cemas apabila berita seperti ini tersebar. Kita juga melihat syarikat minyak negara sebagai peneraju nasib ekonomi negara.
Jika Petronas memberhentikan pekerja, apakah ertinya untuk kita yang lain?
Cara penggunaan media sosial yang kasar dan bising bukanlah saluran yang baik untuk perbincangan yang terukur dan bermaklumat, terutamanya apabila fakta tidak mudah didapati. Media sosial tidak mengendahkan perkara halus atau rancangan jangka panjang. Ia adalah tentang apa yang berlaku sekarang, yang digerakkan oleh algoritma.
Malangnya, pegawai korporat di menara berkembar itu tidak setanding dengan penggerak media sosial, ahli politik atau pengulas yang kurang kekangan dan rasa segan, atau kurang ambil peduli tentang fakta.
Mengapa membiarkan fakta menghalang naratif yang baik, tidak begitu?
Bagi pihak ahli politik pula, cadangan pelaksanaan (langkah) itu sememangnya telah menjadi ‘bola sepak politik’ – bergantung kepada pihak mana anda berada, anda sama ada akan bertahan atau menyerang.”
Ia juga tidak membantu apabila Petronas menggunakan bahasa korporat – ia sedang menjalankan ‘penyusunan semula berstruktur’ (rightsizing). Adakah rightsizing itu satu eufemisme untuk pemberhentian pekerja, pengecilan tenaga kerja, penamatan perkhidmatan atau apa sahaja yang seumpamanya?”
Ya dan tidak. Ia memang bermaksud memberhentikan pekerja, tetapi bukan bermakna melakukannya secara melulu hanya semata-mata untuk mengurangkan saiz tenaga kerjanya.
Bermakna – seperti semua pengulas lain, saya juga membuat spekulasi – bahawa Petronas cuba memastikan sumbernya, termasuk pekerjanya, sepadan atau sejajar dengan perniagaan yang diceburinya dan rancangannya untuk masa depan.
Terkini, ia sedang meninjau untuk memperoleh aset baharu bertujuan meningkatkan rizabnya, mengeksploitasi medan terpinggir dan menceburi perniagaan baharu, seperti pemerangkapan karbon. Dengan pelaburan berbilion-bilion, Petronas perlu lincah dan pantas.
Petronas berusia 51 tahun ini, dan sepanjang tempoh itu, kedua-dua peranannya dan industri telah berubah dengan ketara. Industri ini pernah dikuasai oleh petroleum, tetapi kini gas adalah raja, dan pada masa hadapan, menjaga alam sekitar, seperti menyimpan karbon yang diperangkap akan menjadi sebahagian daripada tugasnya.
Pada awal penubuhannya, Petronas ditugaskan untuk membangun dan menjaga sumber minyak dan gas negara – bagaimana untuk mengeksploitasinya dan untuk membangunkan kapasiti dan keupayaan domestik. Walau bagaimanapun, pada tahun-tahun mendatang, ia mula meneroka lebih banyak aktiviti hiliran, perkapalan, dan peruncitan, serta meneroka pembelian aset di luar negara.
Petronas juga terhimpit dari pelbagai arah, melalui permintaan ‘khidmat negara’ yang merangkumi segala-galanya.
Telah dicadangkan bahawa kelompangan sejumlah RM40 bilion dalam bajet negara berikutan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6% pada 2018 telah sedikit sebanyak diisi oleh dividen, royalti dan duti yang lebih tinggi daripada biasa daripada Petronas yang mungkin boleh memberi kesan ke atas kewangannya. Selain daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Petronas adalah penyumbang terbesar seterusnya kepada tabung negara.
Mereka yang lebih senior (atau berpengalaman luas) juga akan ingat bahawa ia terpaksa menceburi – yang sebenarnya bermaksud: menyelamatkan – sebuah bank, syarikat kereta nasional, syarikat penerbangan nasional, syarikat perkapalan, pembangunan Putrajaya, sekadar menyebut beberapa contoh.
Semuanya mampu dilakukan kerana kedudukan kewangannya yang kukuh, serta kedudukan uniknya sebagai syarikat milik kerajaan yang boleh dikooptasikan untuk menyokong agenda nasional atau politik. Sebagai kredit, proses bailout kebanyakannya diuruskan dengan baik, berjaya dan dengan kerugian yang minimal.
Ketika Petronas mungkin diminta untuk beropearasi sebagai sayap tidak rasmi kerajaan dengan peranan sosial dan pembangunan untuk memastikan bahawa sumber minyak dan gasnya yang besar dapat dirasai oleh banyak pihak, pada masa yang sama, ia juga dikehendaki bertindak seperti sebuah syarikat korporat yang memberi tumpuan kepada keuntungan bersih.
Apabila industri berubah, secara semula jadi, Petronas perlu berkembang. Oleh itu, terdapat kemahiran yang perlu diperolehi dan ada juga yang tidak lagi bersesuaian. Sebahagian daripada 50,000 pekerja yang ada sekarang mungkin akan berlebihan kerana perubahan.
Syarikat melakukan rightsizing secara berkala berikutan penilaian perniagaan, pasaran dan persekitaran mereka berada. Dalam industri minyak dan gas yang tidak menentu, yang sering dipengaruhi oleh pertelingkahan global dan pergolakan politik, syarikat utama minyak hampir sentiasa menyusun semula strategi sumber mereka, dan mungkin, Petronas tidak berbeza.
Terdapat juga pandangan bahawa isu dengan Sarawak, di mana perniagaan gas akan diambil alih oleh syarikat minyak negeri Petros, tidak ada kaitan dengan pemberhentian terbabit. Walau bagaimanapun, pemerhatian biasa akan mencadangkan bahawa menutup sebahagian daripada perniagaan anda, tidak kira betapa kecil, akan mempunyai kesan terhadap operasi dan kakitangannya.
Sudah tentu, ia bukan perhubungan awam yang baik, terutamanya bagi Sarawak, yang bertanggungjawab ke atas pemberhentian sejumlah pekerja. Mungkin Sarawak dan Petros boleh menjadi ‘wira’ dan mengambil sebahagian daripada 5,000 kakitangan terlatih dan berpengalaman yang akan diberhentikan itu. Tetapi, saya terkeluar topik.
Saya percaya lama-kelamaan ia akan menunjukkan bahawa pelaksanaan rightsizing ini dilakukan dengan penuh berhati-hati dan saksama. Mereka yang ditamatkan perkhidmatan mungkin akan mendapat pampasan yang mencukupi, dan kami akan mengandaikan bahawa akan ada jutawan, terutamanya dalam kalangan kakitangan kanan dan lama, akan menamatkan perkhidmatan tahun ini.
Walau bagaimanapun, itu tidak akan sesuai dengan naratif pihak yang berhasrat untuk menimbulkan kekeliruan, sama ada secara sengaja atau tidak.
Pemberhentian pekerja oleh Petronas sudah tentu akan dieksploitasi dalam arena politik, namun syarikat jelas tidak boleh terlibat. Walau bagaimanapun, ia perlu berusaha menarik minat khalayak umum melangkaui golongan yang sudah yakin, kerana ketidakjelasan penyampaian sering kali menyebabkan penyebaran maklumat yang terpesong. – 24 Jun 2025
Wartawan veteran Datuk Zainul Arifin ialah Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media yang menerbitkan Scoop

