MENJELANG sambutan Hari Keselamatan Internet pada 10 Februari, wajar untuk kita menilai semula kesan dunia digital terhadap keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia—bukan sahaja dalam ruang siber, tetapi juga di bilik darjah dan persekitaran sekolah.
Statistik keganasan di sekolah menunjukkan trend yang membimbangkan. Pada tahun 2024 sahaja, lebih 7,600 kes buli dilaporkan—peningkatan ketara berbanding 3,800 kes yang dilaporkan pada 2022 dan 6,500 kes yang dilaporkan pada 2023.
Keganasan di sekolah bukan sekadar mencerminkan isu disiplin, tetapi isyarat kepada krisis yang lebih mendalam: bagaimana kanak-kanak dan remaja hari ini memahami hormat, kuasa, identiti diri dan hubungan sesama manusia di alam maya dan di alam realiti.
Dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, sekolah sepatutnya menjadi ruang paling selamat untuk kanak-kanak belajar menghargai kepelbagaian, membina empati dan mempraktikkan keadilan sosial. Namun, realitinya, semakin banyak sekolah mencerminkan perpecahan, ketegangan dan keterasingan emosi yang turut wujud dalam masyarakat.
Salah satu punca utama keadaan ini ialah pengaruh dunia digital yang semakin mendominasi kehidupan seharian kanak-kanak. Interaksi dalam talian kini sering menggantikan hubungan bersemuka.
Dalam ruang siber yang kurang batasan, bahasa kasar, ejekan dan penghinaan mudah dinormalisasikan. Apabila empati terhakis di alam maya, kesannya tidak terhenti di skrin—ia dibawa masuk ke bilik darjah, padang sekolah dan hubungan sosial harian.
Lebih membimbangkan, norma gender tradisional terus membentuk cara kanak-kanak memahami kekuatan dan nilai diri. Kanak-kanak lelaki sering diasuh untuk mengaitkan kekuatan dengan dominasi dan penindasan emosi, manakala kanak-kanak perempuan pula ditaruh harapan untuk berdiam diri dan bertolak ansur, walaupun berdepan dengan layanan yang mencabuli maruah.
Tanggapan sebegini bukan sahaja mengekang perkembangan emosi yang sihat, malah mewujudkan persekitaran yang membenarkan keganasan dan ketidakadilan berterusan.
Hakikatnya, kekuatan sebenar untuk semua kanak-kanak terletak pada kesedaran diri, kecerdasan emosi, keupayaan berkomunikasi secara jelas dan berhemah serta keberanian untuk mempertahankan diri dan orang lain.
Nilai-nilai ini tidak terikat kepada jantina—ia adalah kemahiran hidup asas yang perlu dipupuk dalam setiap kanak-kanak.
Keganasan, sama ada secara fizikal, lisan atau digital, jarang berlaku secara terpencil. Ia berkembang dalam budaya yang membenarkan rasa keunggulan berdasarkan jantina, kaum atau status sosial.
Oleh itu, usaha menjadikan sekolah lebih selamat tidak boleh tertumpu kepada hukuman semata-mata, tetapi perlu menangani punca budaya dan emosi yang menyuburkan tingkah laku berbahaya.
Pendidikan memainkan peranan penting dalam perubahan ini. Pendekatan seperti Pembelajaran Sosial dan Emosi (SEL) serta keadilan restoratif kalau diarusperdanakan dalam sistem pendidikan, boleh mentransformasikan cara kanak-kanak melihat diri sendiri dan orang lain, termasuk tingkah laku mereka di alam maya.
SEL membantu kanak-kanak membina empati, mengurus konflik dan memahami emosi sendiri serta orang lain. Keadilan restoratif pula menekankan akauntabiliti dan pemulihan, dengan memberi fokus kepada soalan asas: siapa yang terkesan, dan bagaimana keadaan boleh diperbetulkan?
Pendekatan ini selari dengan usaha global oleh organisasi seperti World Vision, yang melaksanakan program keselamatan digital dan kelab belia bagi membina kemahiran serta daya tahan kanak-kanak dan remaja.
Di peringkat tempatan, Kelab Kanak-kanak di kawasan luar bandar Sabah memperlengkapkan kanak-kanak dengan pengetahuan tentang hak kanak-kanak serta meningkatkan kesedaran terhadap isu buli, manakala program One Goal Malaysia Eat Right to Play Right memupuk sikap saling menghormati dan semangat kesukanan yang positif di sekolah dan dalam komuniti.
Namun, pendidikan sahaja tidak mencukupi untuk memastikan keselamatan kanak-kanak. Dasar awam yang kukuh serta pelaksanaan yang berkesan adalah amat penting. World Vision menyokong hasrat di sebalik Akta Keselamatan Dalam Talian Malaysia, termasuk usaha untuk mengarusperdanakan hak kanak-kanak dalam tadbir urus digital dan pengukuhan akauntabiliti perniagaan.
Pada masa yang sama, kanak-kanak perlu diberi peluang untuk berhubung semula dengan dunia sebenar. Aktiviti berpasukan, pembelajaran luar bilik darjah dan khidmat komuniti membantu mereka mempraktikkan kerjasama, kesabaran dan saling menghormati—kemahiran yang tidak dapat diajar oleh aplikasi digital.
Pengalaman ini mengingatkan kanak-kanak bahawa di sebalik setiap profil digital, wujud seorang insan dengan perasaan dan maruah.
Akhirnya, membina sekolah yang selamat bukan sekadar usaha mengurangkan keganasan, ia menuntut transformasi budaya secara menyeluruh terhadap norma dan sikap yang membenarkan kemudaratan berakar.
Penghormatan terhadap kepelbagaian perlu diajar, dan diamalkan secara konsisten. Perpaduan dalam masyarakat majmuk tidak berlaku secara automatik—ia memerlukan usaha berterusan dan kesedaran kolektif.
Hari Keselamatan Internet mengingatkan kita bahawa usaha membina internet yang lebih baik adalah tanggungjawab bersama. Sekolah, keluarga, komuniti, pembuat dasar dan platform digital perlu menjadi teladan tingkah laku yang saling menghormati, memperkukuh pendidikan kewarganegaraan digital, serta menangani kemudaratan dengan pendekatan yang mengutamakan pembelajaran dan akauntabiliti, bukan ketakutan dan rasa malu.
Apabila kanak-kanak diperkasa dengan empati dan keyakinan untuk bersuara, mereka bukan sahaja menjadi pengguna internet yang lebih selamat, malah rakan sekelas yang lebih prihatin serta warganegara yang lebih bertanggungjawab.
Sempena Hari Keselamatan Internet ini, marilah kita bersama-sama beriltizam untuk memupuk budaya di mana empati tidak disalahertikan sebagai kelemahan, kepelbagaian tidak dianggap perpecahan, dan rasa hormat tidak diperoleh melalui ketakutan atau dominasi, tetapi melalui kefahaman dan kemanusiaan bersama.
Setiap kanak-kanak berhak untuk belajar—dan membesar—dalam persekitaran yang selamat, bermaruah dan penuh harapan, sama ada dalam talian mahupun di luar talian. – 5 Februari, 2026
Lydia Lee ialah Pengurus Kanan Program dan Bantuan Kecemasan di World Vision Malaysia (WVM). Beliau menyelia program pembangunan komuniti tempatan dan antarabangsa, usaha bantuan kecemasan, inisiatif One Goal Malaysia, penglibatan sukarelawan belia, dan kerjasama dengan sekolah, keluarga dan rakan sekutu tempatan untuk mewujudkan persekitaran yang selamat untuk kanak-kanak yang berkeperluan. Lydia juga memainkan peranan Pegawai Penyelaras Perlindungan (Safeguarding Focal Point) WVM.
