Lancar album secara rasmi pada 20 September, Siti Nurhaliza akui ia simbolik Sitism yang jadi album studio ke-20

Album Sitism bertambah istimewa apabila Datuk Seri Siti Nurhaliza berpeluang mengundang penyanyi rock legenda, Datuk Awie untuk berduet dalam lagu bergenre tradisional moden

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penyanyi terkemuka tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza mempunyai sebab tersendiri untuk memilih melancarkan album terbaharunya, Sitism secara rasmi pada tanggal tarikh 20 September 2023.

Menurutnya, pemilihan tarikh tersebut adalah simbolik kepada Sitism yang menjadi album studio ke-20 yang dihasilkannya dalam tempoh perjalanan kerjaya muziknya yang sudah hampir mencecah 28 tahun.

“Walaupun berjarak hampir dua bulan pelancaran album Sitism dan album Sitism edisi deluxe dengan penambahan empat buah lagu, Siti dapat mempromosikan lebih banyak lagu sebelum muncul dengan album lengkap.

“Ini merupakan salah satu strategi untuk memberikan peluang kepada para peminat, para pencinta muzik, stesen radio dan stesen televisyen menumpukan perhatian kepada lagu-lagu album Sitism dan kini beliau dapat menyambung promosi dengan edisi deluxe pula,” katanya.

Lagu-lagu di dalam album Sitism sehingga kini telah mendapat 1.6 juta strim sejak dilancarkan sehingga pertengahan September 2023 – Gambar Universal Music Malaysia, 21 September, 2023

Album Sitism yang memuatkan lapan lagu dilancarkan di pasaran pada 30 Jun lalu disusuli dengan album Sitism edisi deluxe dengan penambahan empat lagi lagu pada 8 September lalu.

Menurut Siti lagi, album Sitism menggambarkan diri beliau seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan vokal.

Album ini mempunyai makna yang tersendiri bagi Siti kerana beliau dapat bekerjasama dengan penerbit, pencipta lagu dan penulis lirik lama dan baharu sebagai formula utama penerbitannya.

“Gabungan ini telah memberikan warna tersendiri bagi Sitism dan dapat memenuhi cita rasa peminat Siti yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia.

“Album Sitism bertambah istimewa apabila saya berpeluang mengundang penyanyi rock legenda, Datuk Awie untuk berduet dalam lagu bergenre tradisional moden, Kalau Berkasih. Ini merupakan penampilan pertama Datuk Awie merakamkan lagu tradisional,” katanya.

Album ini mempunyai makna yang tersendiri bagi Siti Nurhaliza kerana beliau dapat bekerjasama dengan penerbit, pencipta lagu dan penulis lirik lama dan baharu – Gambar Universal Music Malaysia, 21 September, 2023

Judul Sitism dipilih daripada nama Siti Nurhaliza iaitu Siti dan imbuhan `ism’ pula adalah istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album.

Apabila nama Siti dan imbuhan `ism’ ini digabungkan, Sitism membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam tersebut.

Sitism atau Siti-ism bagi menggambarkan Siti Nurhaliza kerana apabila Siti menyanyi, ciri khas, gaya, kualiti dan suara yang dimiliki penyanyi itu unik serta senang dikenali bahawa itulah Siti Nurhaliza.

Lagu-lagu di dalam album Sitism sehingga kini telah mendapat 1.6 juta strim sejak dilancarkan sehingga pertengahan September 2023. Album terbitan Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd ini turut dikeluarkan dalam bentuk fizikal. Album fizikal ini juga turut dijual di kedai pengedar terpilih dalam jumlah terhad.

Album Sitism yang memuatkan lapan lagu dilancarkan di pasaran pada 30 Jun lalu disusuli dengan album Sitism edisi deluxe dengan penambahan empat lagi lagu pada 8 September lalu – Gambar Universal Music Malaysia, 21 September, 2023

Sitism memuatkan 12 buah lagu iaitu Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta/Luca Sickta dan Siti Nurhaliza), Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi), Ganti (Mingaling dan Nuha Nik/ Amir Hasan dan Nuha Nik), Romansa Kita (Sharon Paul/Rozisangdewi) dan Teratas (Tomok dan Rudy Nastia/Fedtri Yahya).

Lagu lain yang turut dimuatkan adalah Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara), Magis (Mas Dewangga dan Jova Devito/ Mas Dewangga dan Jova Devito dan Aden King), Senyawa (Farouk Roman/Senna), Kalau Berkasih (Glowrush dan Tam Cobain dan Mike Chan), Nadi (Mim Hamzah danIlli Diyana) serta Kusedari (Datuk Seri Siti Nurhaliza/Habsah Hassan). – 21 September 2023

Topics

Popular

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Iranian President Ebrahim Raisi confirmed dead as burnt helicopter wreckage found

No survivors have been found since crashed helicopter site was discovered, says Iranian Red Crescent Society

Two bullets, profane letter in my mailbox: Teresa Kok lodges report on death threat

Seputeh MP shares her distress after discovering threatening note while retrieving her mail yesterday; police have inspected the scene at her residence

Related