Konsert Dewa 19 bakal diiringi 54 pemuzik, Ahmad Dhani puji Orkestra Malaysia lebih bagus dari Indonesia

Ahmad Dhani berkata, pemuzik orkestra di Indonesia masih belum biasa dengan muzik orkestra

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ketua dan vokalis kumpulan Dewa 19, Ahmad Dhani, memuji pasukan muzik orkestra Malaysia yang akan mengiringi konsert A Night At The Orchestra Dewa 19 yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam ini.

Menurutnya, pemuzik orkestra di Malaysia lebih baik dari Indonesia kerana orkestra masih belum benar-benar menguasai industri muzik di sana.

“Saya sudah dengar latihan, nampaknya orkestra Malaysia lebih bagus daripada Indonesia. Ia dari pendengaran saya yang boleh disifatkan sebagai seorang pakar dalam muzik.

“Kalau di Indonesia, ahli orkestra memang orang asal Indonesia, tapi di sini saya dengar ahlinya terdiri dari pelbagai negara. Lagi pula orkestra bukan budaya kita. Jadi bila orang barat mainkan, akan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media dan sesi latihan konsert tersebut di Axiata Arena, malam tadi.

Konset Dewa 19 di Malaysia pada kali ini, menampilkan suasana berbeza apabila penonton bakal duduk di kerusi dan memakai pakaian mengikut tema lebih formal. – Gambar Helmi Anuar, 29 September, 2023

Ahmad Dhani atau nama sebenarnya Dhani Ahmad Prasetyo ,51, juga berharap orkestra akan dapat berkembang dan diterima baik di Indonesia.

“Dengan orkestra kita membawa budaya baharu di Jakarta dan penonton orkestra masih perkara baharu di sana. Kami di Indonesia belum ada seperti di Malaysia di mana orkestra dibiayai kerajaan. Mungkin satu hari nanti akan ada,” ujarnya. 

Pada malam konsert itu nanti, Dewa 19 yang turut dianggoti Andra Ramadhan (gitaris), Yuke Sampurna (bass), Agung Yhuda (pemain dram) dan Tyo Nugros (pemain dram) akan menyampaikan 34 buah lagu dengan diiringi 54 pemuzik orkestra dari Malaysia. 

Tambah Ahmad Dhani, konsert yang juga dinamakan sebagai ‘chapter 5’ itu, akan menonjolkan sisi lain kumpulan yang dikenali dengan lagu seperti Laskar Cinta, Dewi, Arjuna dan Roman Picisan berkenaan.

Vokalis Dewa 19, Dhani Ahmad Prasetyo atau lebih dikenali Ahmad Dhani. – Gambar Helmi Anuar, 29 September, 2023

“Konsert ini secara tidak langsung memberi sisi lain Dewa 19, iaitu ada lagu kami yang boleh didengar secara serius dan bukan hanya hiburan semata-mata.

“Konsert malam nanti, boleh dikatakan seolah-olah orkestra membaluti muzik Dewa 19,” katanya. 

Berbeza dengan konsert Dewa 19 yang berlangsung di lokasi sama tahun lalu, kali ini penonton bakal duduk di kerusi dan memakai pakaian mengikut tema lebih formal. 

Ditanya mengenai kerisauannya mengadakan konsert yang memerlukan penonton duduk dan bukannya berdiri kerana mungkin akan memberi energi berbeza, Ahmad Dhani berkata, mereka percaya peminat Dewa 19 tetap akan berseronok dengan persembahan itu.

“Jika penonton tidak bergoyang tidak bermaksud mereka tidak menikmati. Bahkan ada beberapa lagu kami yang memerlukan penghayatan,” katanya.

Selain Ahmad Dhani, konsert itu akan menampilkan vokalis Dewa 19 yang lain seperti Ari Lasso, Virzha dan Marcello. 

Tiga penyanyi popular Malaysia turut diundang memeriahkan konsert itu, termasuk Jaclyn Victor, Shila Amzah dan Amir Masdi. – 29 September 2023

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ex-Lazada top execs create support groups for retrenched staffers

Several former top executives and managers of embattled Lazada have started unofficial support groups to help recently retrenched colleagues in Southeast Asia.

Related