Tak sangka dari kawan jadi suami isteri, Sabri Yunus anggap PKP beri rahmat rapatkan hubungannya dengan Angeline Tan hingga cetus rasa cinta

Walaupun dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Wan Ismail Golok beberapa kali cuba 'tackle' Lucy, tapi saya tidak pernah sangka dan tidak pernah terfikir pun ke arah itu (kahwin): Sabri Yunus

9:01 AM MYT

 


KUALA LUMPUR — Pengarah, pelakon dan aktivis teater, Sabri Yunus mendedahkan sepanjang perkenalannya dengan Angeline Tan ketika menjayakan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, dia tidak pernah memikirkan akan berjodoh dengan aktres jelita tersebut.

“Walaupun dalam sitkom itu, Wan Ismail Golok beberapa kali cuba tackle Lucy, tapi saya tidak pernah sangka dan tidak pernah terfikir pun ke arah itu. Sebab masa kami dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu, kami memang berkawan biasa sahaja. Tidak pernah pun keluar bersama ke mana-mana untuk duduk dan minum.

“Tapi dia banyak belajar dengan saya. Bukan sahaja dalam lakonan tetapi juga cara untuk menguasai bahasa Melayu dengan baik. Selepas Pi Mai Pi Mai Tang Tu berakhir, hubungan kami tidak pernah putus kerana dia selalu bertanya khabar,” katanya membuka cerita tentang hubungannya dengan Angeline.

Sabri Yunus dan Angeline Tan ketika memainkan watak Wan Ismail Golok dan Lucy dalam siri Pi Mai Pi Mai Tang Tu – Gambar media sosial, 15 Oktober, 2023

Sabri, 62, mencetuskan kejutan apabila mengahwini selebriti yang juga rakannya, Angeline, 56, dalam satu majlis pernikahan secara tertutup di Perlis, pagi tadi.

Namun, Sabri yang dikenali dengan watak Wan Ismail Golok dalam sitkom popular arahan Othman Hafsham itu berkata, hubungannya dengan Angeline (yang memegang watak sebagai Lucy) sebagai kawan mula renggang selepas 2009.

“Pemergian arwah isteri saya pada 2007 cukup memberi kesan sehingga saya cuba mengasingkan diri daripada semua orang. Apabila saya kembali semula dalam industri dan mengarah beberapa drama termasuk Sanggul Beracun pada 2011, hubungan kami masih lagi begitu.

“Yang menjadikan kami rapat semula adalah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bagi saya PKP memang membawa rahmat. Waktu itu kita tidak buat apa-apa.

“Saya juga jadi rajin untuk update kepada dia tentang apa yang saya lakukan setiap hari. Kalau saya melukis, saya akan tunjukkan lukisan saya pada dia. Dia pula selalu ambil peduli tentang diri saya, tentang sakit demam saya,” ceritanya tanpa berselindung.

Sabri Yunus, 62, mencetuskan kejutan apabila mengahwini selebriti yang juga rakannya, Angeline Tan, 56, dalam satu majlis pernikahan secara tertutup di Perlis, pagi tadi – Tangkapan layar Instagram Issey Fazlisham, 15 Oktober, 2023

Memandangkan mereka sudah lama mengenali hati budi masing-masing dan status kedua-duanya juga single, hubungan mereka menjadi lebih rapat dan dekat sehingga mencetuskan rasa cinta.

“Saya kehilangan isteri pada 2007 dan dia pula sudah berpisah dengan suami pada 2004. Bila sudah jadi makin rapat dan dekat, saya fikir kenapa tidak saya suarakan hati saya ini kepada dia.

“Tapi, sebelum kita berani bersuara, kita kena ada rasa satu perasaan yang kuat. Saya percaya perasaan itu datang secara kita tidak sedar. Tapi, kita boleh merasainya daripada diri kita dan kita dapat juga merasainya daripada dia.

“Perasaan itu saya layankan sehingga akhirnya ia membuatkan saya sendiri jadi tidak tahan dan terus bertanya dengan dia: “Kalau kita kahwin macam mana?

“Dia (Angeline) tanya saya, adakah saya terdesak? Saya jawab: “Saya tidak terdesak.” Saya faham apabila dia tanya soalan itu bermakna dia perlukan masa untuk berfikir.

“Saya tanya soalan itu pada tahun 2020 dan memberi dia masa untuk berfikir selama tiga tahun dan mendalami Islam. Akhirnya suatu hari dia beritahu saya, dia sudah bersedia dan saya juga tidak tunggu lama.

“Pada 26 September lalu, dia mengucap dua kalimah syahadah di rumah keluarga saya di Kelantan di hadapan ibu dan adik-beradik dan kemudian membuat pengesahan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan,” dedahnya.

Sabri Yunus dan Angelina Tan bersama Issey Fazlisham serta pasangannya usai majlis pernikahan – Gambar Facebook Issey Fazlisham, 15 Oktober, 2023

Jelas Sabri lagi, pada awalnya, dia dan Angeline sebulat suara mahu mengekalkan nama Angeline Tan itu tanpa nama Islam. Tapi, bila kakitangan di situ tanya takde nama Islamkah, Angeline menyerahkan kepada saya untuk memilih.

“Saya cakap tunggu sekejap dan tidak sampai dua minit saya jumpa nama Islam dia, Ardini yang bermaksud isteri yang menyayangi,” katanya.

Menjelaskan pernikahan di Perlis, Sabri berkata, ketika Angeline sering bertanya tentang hal-hal berkaitan Islam, dia sering merujuk ceramah-ceramah daripada Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin atau dikenali Dr Maza.

“Bagi saya ceramah-ceramah Dr Maza lebih mudah difahami untuk orang bukan Islam. Jadi, bila saya tanya pandangan dia kalau Dr Maza yang jadi jurunikah kita, dia terus setuju,” jelasnya.

Sabri juga menganggap pernikahannya dengan Angeline tidak lebih sekadar untuk menjadi pendamping dan peneman hidup.

“Tidak timbul soal ingin menambah ahli keluarga kerana kami masing-masing dah ada anak. Kami juga tidak terfikir untuk buat resepsi perkahwinan atau bercuti bulan madu.

“Saya amat menyukai proses yang kami lalui ini daripada kawan, menjadi kawan yang sangat baik dan kemudian selepas beralih kepada percintaan kami masih menjadi kawan. Saya harap lepas berkahwin ia akan kekal begitu supaya kita masih boleh berbincang pelbagai isu sebagai kawan,” katanya. – 15 Oktober, 2023

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Ex-Lazada top execs create support groups for retrenched staffers

Several former top executives and managers of embattled Lazada have started unofficial support groups to help recently retrenched colleagues in Southeast Asia.

Related