‘Saya bangga dapat berkhidmat pada negara’, DJ Dave bakal terima anugerah kerana ‘Setia Perpaduan’ ilham Agong

Perpaduan bagi saya sangat penting untuk memastikan setiap orang sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan hormat-menghormati: DJ Dave

5:11 PM MYT

 


KUALA LUMPUR – Usaha penyanyi legenda, Datuk DJ Dave menghasilkan ‘ Setia Perpaduan’ melibatkan 13 artis daripada pelbagai kumpulan etnik telah meraih perhatian Rotary Club Ara Damansara (RCAD).

Beliau bakal menerima Anugerah Untuk Perpaduan pada 20 Januari depan dan turut menerima wang tunai berjumlah RM10,000. Wang tersebut bagaimanapun akan dipulangkan semula bagi tujuan kebajikan.

Menurut penyanyi yang terkenal dengan lagu Ingin Bersua dan Menjelang Hari Raya ini, sejak dulu lagi beliau sentiasa menitikberatkan unsur perpaduan dalam kerjaya seni serta kehidupannya.

“Lagu saya Maafkanlah yang diterbit pada 1972 juga mempunyai unsur perpaduan. Perpaduan bagi saya sangat penting untuk memastikan setiap orang sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan hormat-menghormati.

“Saya selalu mengingatkan ramai orang bahawa persamaan itu lebih baik daripada perbezaan kerana persamaan itulah yang menyatukan kita dan isu yang sensitif tidak perlu disentuh supaya kita dapat kekalkan kemesraan tanpa mengira kaum dan agama.

“Sayangnya, perpaduan sekarang sudah semakin merosot berbanding 20 tahun yang lalu dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga nampaknya begitu prihatin terhadap perkara ini,” katanya kepada Scoop.

DJ Dave atau nama penuhnya Irwan Shah Abdullah berkata, keprihatinan Seri Paduka telah menyebabkan tercetusnya lagu Setia Perpaduan yang menjadi lagu tema Minggu Perpaduan Negara yang dilancarkan di Kuching, Sarawak, pada 21 Mei lalu.

Lagu itu digubahnya sendiri, manakala lirik oleh sasterawan negara, Lim Swee Tin serta susunan muzik daripada komposer legenda, Datuk S Atan.

“Bila saya dapat panggilan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk menghadap baginda pada Ogos lalu, saya diminta menghasilkan sebuah lagu perpaduan seperti lagu ‘Setia’ namun dalam irama yang lebih rancak.

“Baginda juga menitahkan agar lagu ini turut melibatkan penyanyi daripada pelbagai kumpulan etnik utama agar mereka dapat bersama-sama berbangga menjadi rakyat Malaysia serta dapat menggunakan bahasa ibunda tetapi pada masa yang sama tinggal di negara aman damai ini.

“Sebab itulah, lagu ini menampilkan 13 artis termasuk saya sendiri yang mewakili setiap kumpulan etnik utama. Selain bahasa Melayu ia juga dinyanyikan dalam bahasa Iban, Kadazan, Punjabi, Tamil, Cina, Orang Asli, Melayu dan beberapa lagi,” katanya.

Antara artis yang terlibat adalah Datuk Awie, Jaclyn Victor, Suki Low, Marsha Milan, Bob AF, Sabri Saddi, As’ad Motawh, Melissa Francis, Bob Yusof, Sissy Imann, Iesya Toh, Hacharan Singh dan Cikgu Asani.

DJ Dave turut berasa bangga kerana dapat berkhidmat kepada negara dan lagu terbabit adalah sumbangan yang boleh dilakukannya kepada negara.

“Bukan mudah menjayakan projek lagu ini. Selain mengumpulkan 13 orang artis ini, saya juga terpaksa menghadap Yang di-Pertuan Agong sebanyak empat hingga lima kali kerana Tuanku sangat teliti dari sudut lirik, rentak lagu dan pemilihan artis,” katanya yang juga presiden Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT).

“Muzik dan sukan adalah alat perpaduan yang paling berkesan. Selalu gunakan muzik dan sukan untuk kedua-dua tujuan ini dan sebagai Presiden Badminton Masters Malaysia (MMBA) di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kita juga telah menganjurkan kejohanan badminton untuk peringkat usia atas 35 tahun yang disertai pelbagai bangsa,” katanya. – 30 Oktober, 2023

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Related