Sorotan 2023: Rumah tangga sembilan selebriti tempatan temui noktah kerana tiada persefahaman, gangguan orang ketiga

Namun, ada antara mereka yang sudah bercerai, seperti Beego dan Linda Hashim serta Farid Kamil dan Diana Danielle mengambil keputusan kembali rujuk

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dunia hiburan tempatan tidak pernah lekang daripada kontroversi, antaranya mengenai cerita hubungan selebriti, termasuk perceraian.

Tiada persefahaman dan gangguan orang ketiga menjadi punca segelintir selebriti tanah air mengambil keputusan nekad untuk bercerai tahun ini.

Ada antara mereka mengambil pendekatan untuk bercerai secara baik, manakala ada terpaksa berdepan konflik yang mencetuskan kontroversi hangat, sehingga menjadi tatapan umum apatah apabila ia dikongsi di media sosial.

Menerusi Showbiz, Scoop menyorot sembilan kes perceraian selebriti pada tahun ini.

Apapun, semoga mereka menemui kebahagiaan sendiri suatu hari nanti atau berjodoh kembali bersama pasangan masing-masing dengan izin Allah SWT.

Puteri Sarah Liyana dan Syamsul Yusof

Puteri Sarah Liyana dan Syamsul Yusof bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 14 Jun – Gambar Instagram, 20 Disember, 2023

Kisah perceraian pelakon Puteri Sarah Liyana, 38, dengan pengarah filem, Syamsul Yusof, 39, sememangnya penuh kontroversi dan menjadi topik sensasi cukup hangat diperkatakan di media sosial.

Tindakan Syamsul yang tidak pulang ke rumah dan ‘memutuskan’ komunikasi dengan Puteri Sarah serta ibu bapa kandungnya sendiri, selain berkahwin senyap-senyap dengan Ira Kazar, iaitu anak kepada pelakon veteran, Kazar Saisi terus memburukkan lagi keadaan.

Kemelut rumah tangga mereka yang berlanjutan selama empat tahun itu, menyebabkan tiada ruang untuk ia diselamatkan dan seterusnya mendorong Puteri Sarah tekad minta dilepaskan.

Akhirnya, pasangan ini bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 14 Jun.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6 dan Sumayyah, 4.

Mawar Rashid dan Raf Yaakob

Raf Yaakob dan Mawar Rashid melayari bahtera perkahwinan hampir enam tahun sebelum mengumumkan perceraian mereka – Gambar Instagram, 20 Disember, 2023

Tiada persefahaman dikatakan sebagai punca pelakon Mawar Rashid, 28, membuat keputusan bercerai dengan Raf Yaakob yang juga adik kepada selebriti, Datuk Fazley Yaakob selepas pasangan ini melayari bahtera perkahwinan hampir enam tahun.

Mawar Rashid mengumumkan perkara itu melalui akaun Instagram, namun dia tidak menyatakan tarikh perceraian mereka.

Rumah tangga pasangan ini dilihat mula bergolak apabila Mawar tiba-tiba tampil dengan beberapa foto tanpa mengenakan hijab di Instagram.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata Raden Muhammad, 4, Raden Seri Rosabella Cinta, 2 dan Raden Seri Riyanna Sayang, 10 bulan.

Datuk Jovian Mandagie dan Datin Nina Sabrina Ismail Sabri

Datuk Jovian Mandagie dan Datin Nina Sabrina Ismail Sabri menyatakan mereka lebih serasi menjadi sahabat berbanding suami isteri – Gambar Instagram, 20 Disember, 2023

Selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, pereka fesyen terkemuka, Datuk Jovian Mandagie dan Datin Nina Sabrina Ismail Sabri mengambil keputusan berpisah serta membawa haluan masing-masing.

Berita perpisahan mereka dimaklumkan menerusi kenyataan yang dikongsi bersama di akaun Instagram masing-masing.

Tanpa menyatakan sebab perpisahan, Jovian dan Nina bagaimanapun menyatakan mereka lebih serasi menjadi sahabat berbanding suami isteri.

Jovian dan Nina yang juga kakak kepada penyanyi Dafi Ismail berkahwin pada 11 Disember 2013 dan dikurniakan seorang anak, Jeanelle Nika Mandagie, 6.

Datuk ND Lala dan Fauziah Sarman

Kemelut rumah tangga ND Lala dengan Fauziah Sarman bermula selepas penyanyi veteran itu mengahwini rakan baik anaknya sendiri tanpa pengetahuan Fauziah – Gambar Instagram, 20 Disember, 2023

Seperti mana Puteri Sarah Liyana dan Syamsul Yusof, kisah perceraian ibu bapa Shila Amzah, iaitu Datuk ND Lala dengan Fauziah Sarman juga penuh dengan kontroversi serta menjadi sorotan media, malah didakwa tercetus angkara orang ketiga.

Kemelut rumah tangga ND Lala atau Amir Amzah Salleh, 62, dengan Fauziah bermula selepas penyanyi veteran itu mengahwini rakan baik anaknya sendiri, iaitu Siti Munirah Abd Ghani tanpa pengetahuan Fauziah yang ketika itu masih isterinya dan empat anaknya.

Tercalar dengan perbuatan ND Lala, Fauziah mendedahkan, sewaktu masih isteri selebriti terbabit, bekas suaminya itu sudah bertahun tidak memberikan nafkah dan mereka hanya hidup bergantung kepada Shila.

Fauziah kemudian memaklumkan dia sudah diceraikan ND Lala.

Selepas sekian lama mengunci mulut, akhirnya ND Lala tampil menjelaskan bahawa dia melafazkan cerai terhadap Fauziah pada 2 Ogos, sebelum memfailkannya di mahkamah pada 7 Ogos, memberi audio lafaz cerai pada 8 Ogos dan mahkamah mengesahkan perceraian mereka pada 5 September.

ND Lala memaklumkan bahawa beliau menceraikan Fauziah kerana bekas isterinya itu yang mendesaknya berbuat demikian kerana tidak bersetuju dengan poligami.

Bagaimanapun, dia menyatakan selepas 34 tahun menikah dan dikurniakan empat cahaya mata, melafazkan cerai bukanlah keputusan mudah.

Hafidz Roshdi dan Nurul Shuhada

Kisah perceraian Hafidz Roshdi dan Nurul Shuhada meraih perhatian apabila Nurul Shuhada mendakwa Hafidz berlaku curang terhadap dirinya dengan menjalinkan hubungan cinta bersama bekas kekasih – Gambar Instagram, 20 Disember, 2023

Selepas tujuh tahun melayari bahtera perkahwinan, pelakon Hafidz Roshdi dan Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, akhirnya sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 27 Julai.

Kisah perceraian mereka meraih perhatian apabila Nurul Shuhada mendakwa Hafidz berlaku curang terhadap dirinya dengan menjalinkan hubungan cinta bersama bekas kekasih.

Bahkan, hubungan mereka semakin buruk apabila Hafidz didakwa menumbuk pipi kiri Nurul Shuhada sebanyak tiga kali sehingga menyebabkan lebam dan luka, susulan pergaduhan antara keduanya.

Namun, ketika kes jenayah itu dibicarakan di mahkamah, Hafidz mengaku tidak bersalah, sebelum pelakon ini dibenarkan diikat jamin dan diperintahkan mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Bahagia, tetapi kemudian didapati waras.

Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Humairah, 6 dan Umar, 2.

Terbaharu, Hafidz mendirikan rumah tangga dengan bekas kekasih lamanya itu, Athira Yuhada.

Fyna Jebat dan Datuk Zainal Abidin Hassan

Kisah perkahwinan Fyna Jebat dengan Datuk Zainal Abidin Hassan pada Januari lalu meraih perhatian kerana perbezaan usia mereka dan statusnya sebagai isteri kedua – Gambar Instagram dan Facebook, 20 Disember, 2023

Bekas pemain bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan, 62, mengesahkan beliau sudah bercerai dengan Fyna Jebat yang juga adik kepada penyanyi Aida Jebat.

“Kita dah berpisah dengan cara damai,” katanya mengenai status hubungannya bersama Fyna menerusi wawancara dalam sebuah program sukan disiarkan sebuah stesen televisyen swasta pada hujung Ogos lalu.

Pendedahan Zainal itu, sekali gus mengesahkan kenyataan anak perempuannya, Zahira Asiyah melalui media sosial pada Mei lalu yang memaklumkan bapanya dan Fyna sudah berpisah.

Kisah perkahwinan Fyna atau nama sebenarnya, Nur Syafinaz Jebat dengan Zainal pada Januari lalu meraih perhatian kerana perbezaan usia mereka dan statusnya sebagai isteri kedua.

Aziz M Osman dan Puteri Lily

Aziz M Osman dan Puteri Lily Lokman berpisah secara baik pada awal Ogos lalu – Gambar Facebook, 20 Disember, 2023

Selepas 13 tahun mendirikan rumah tangga, perkahwinan pengarah Aziz M Osman dengan pelakon, Puteri Lily Lokman menemui noktah apabila mereka mengambil keputusan berpisah.

Perpisahan mereka itu diumumkan sendiri Puteri Lily melalui IG Story dengan menyatakan bahawa mereka berpisah secara baik pada awal Ogos lalu.

Aziz dan Puteri Lily bergelar suami isteri pada 6 Jun 2010 dan dikurniakan dua cahaya mata, Puteri Nur Azzahra, 11 dan Putera Muhamad Aryan, 5.

Afiq Muiz dan Pachara Apin

Kisah perceraian pasangan pelakon, Afiq Muiz dengan Pachara Apin sarat dengan konflik drama penuh sensasi – Gambar Instagram, 20 Disember, 2023

Kisah perceraian pasangan pelakon, Afiq Muiz dengan Pachara Apin juga sarat dengan konflik drama penuh sensasi.

Awalnya, Pachara Apin atau Nur Aaira Mahadeya, 32, mendakwa Afiq mengasari dan menderanya sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan.

Susulan tindakan Afiq itu, Pachara membuat laporan polis dan menuntut fasakh.

Afiq kemudian membuat laporan polis mendakwa Pachara memfitnahnya.

Namun, akhirnya masing-masing mengambil keputusan untuk menyelesaikan isu di antara mereka dengan baik, malah tidak memberikan sebarang kenyataan melalui media sosial.

Afiq dan Pachara disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Ampang pada 18 Julai.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2019 selepas setahun berkenalan di lokasi penggambaran drama Air Mata Syurga.

Madrizal dan Nurfazilah Mohd Ali

Madrizal dan Nurfazilah Mohd Ali berkata, punca perceraian mereka adalah kerana tiada persefahaman – Gambar Instagram, 20 Disember, 2023

Penyanyi rap, Madrizal yang popular dengan lagu menerusi Budak Baru Nak Up dan Mamasita, bercerai talak satu dengan Nurfazilah Mohd Ali, 38, di Mahkamah Rendah Syariah Ampang pada 11 Julai.

Madrizal atau Mohammad Rizai Shah Abdul Jayalani, 29 dan Nurfazilah berkata, mereka berpisah secara baik.

Pasangan itu berkata, punca perceraian berkenaan adalah kerana tiada persefahaman antara mereka.

Bagaimanapun, di sebalik kisah itu, ada juga yang sudah mengambil keputusan bercerai seperti pasangan selebriti Beego dan Lina Hashim serta Farid Kamil dan Diana Danielle, kemudian merujuk semula kerana masih sayang serta demi masa depan anak.

Beego dan Linda Hashim awalnya bercerai pada 27 Mac tetapi kemudian rujuk semula pada 9 April lalu, manakala Farid Kamil dan Diana Danielle yang bercerai pada 10 Ogos, kembali bersama pada 31 Ogos. – 20 Disember, 2023

Topics

Popular

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Boycotted due to KK Mart name mix-up, Kedah seafood shop ‘shell’-shocked

Nur Hamidah, the owner of KK Fresh Mart in Kedah, clarified that the acronym stood for Kuala Kedah Fresh Mart, emphasising no association with KK Mart. 

Related