PETA 2023 ASWARA: 16 pelajar bakal dinilai dalam 4 produksi mengangkat karya Asia Tenggara

Penilaian Tahun Akhir atau PETA merupakan subjek penilaian bagi pelajar di tahun akhir yang wajib lulus untuk Fakulti Teater di ASWARA

2:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sempena Penilaian Tahun Akhir (PETA) 2023 Ijazah Sarjana Muda Teater Dengan Kepujian (Pengarahan/Sinografer/Lakonan), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) akan mementaskan empat karya dari Asia Tenggara di studio Blackbox, Aswara bermula 27 hingga 30 Disember ini.

Bersesuaian dengan temanya iaitu Meninjau Asia, karya-karya yang bakal dipentaskan itu adalah A Nowhere Place (Pradit Prasartthon), Bulan Emas di Jendela Kakek (J. Adjim Arijadi), Malam Terakhir (Yokio Mishimka) dan Kisah Cinta & Lain-Lain (Arifin C. Noer).

Penyelaras PETA 2023, Mohd Shahrul Mizad Asari berkata, PETA merupakan subjek penilaian bagi pelajar di tahun akhir yang wajib lulus untuk Fakulti Teater di ASWARA.

Penyelaras PETA 2023, Mohd Shahrul Mizad Asari. – Gambar Aswara, 26 Disember, 2023

“Melalui empat karya yang dipentaskan ini, seramai 16 pelajar akan dinilai dalam pelbagai bidang jurusan teater iaitu pengarahan, sinografer dan lakonan.

“Sebelum itu, pelajar akan melaksanakan satu projek akhir berdasarkan kertas cadangan yang telah diluluskan dalam projek awal. Projek berbentuk produksi ini juga akan melibatkan pelajar sama ada sebagai pelakon, pengarah atau stenographer yang mana posisi-posisi ini boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan.

“Setiap pelajar akan mendapat bimbingan seorang penyelia bermula daripada peringkat pra produksi hinggalah ke peringkat penghasilan produksi. Mereka juga wajib menduduki Seminar Akhir (viva voce) yang akan menilai hasil kerja mereka melalui projek tersebut,” katanya kepada Scoop.

Katanya, tidak seperti tahun lalu, PETA 2023 kali ini menyusuri karya-karya dari Asia Tenggara yang diangkat mengikut kesesuaian dan temanya yang universal.

“Kesemua pelajar ini diberi kebebasan untuk mementaskan karya tersebut setelah melalui proses pembentangan pada projek awal semester lepas.

“Tahun akhir ini memberi ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan keseluruhan hasil pembelajaran di dalam penilaian akhir mengikut pengkhususan bidang.

“Selain itu, subjek ini menggalakkan penerokaan ilmu dengan menggunakan teori dan praktis dalam masa yang sama merekodkan proses latihan dan persembahan di dalam bentuk penulisan ilmiah,” katanya.

A Nowhere Place – Karya Pradit Prasartthon
Mengisahkan dua pengantin iaitu Groom dan Bride daripada perkahwinan berbeza bertemu dan bercerita tentang diri masing-masing. Nostalgia dan trauma silih berganti. Pertemuan mereka merungkai satu demi satu peristiwa hidup mereka.  

Pelajar dinilai: Muhammad Ammar Abd Malek (pengarah), Adyan Norzalahuddin (sinografer), Muhammad Azwan Ahmadi (pelakon).

Bulan Emas Di Jendela Kakek – Karya J. Adjim Arijadi
Tiga cucu iaitu Abdullah, Badrun dan Rusman datang ke pesta ulang tahun Kakek. Badrun dan Rusman bercadang membunuh Kakek demi harta. Kakek yang sudah nyanyuk menuduh mereka ingin mencuri hartanya.

Sedang berdebat, dia meminta Jonah menghidangkan susu untuk cucu-cucunya. Kakek menyatakan pendiriannya mahu menyerahkan semua harta yang dimilikinya kepada Jonah. Ini menimbulkan rasa tidak puashati terhadap mereka kerana Jonah hanyalah seorang pembantu rumah. Apa yang terjadi?

Pelajar dinilai: D’Nur Qistiena Dzul Fatah (pengarah), Siti Farizah Irman (sinografer), Wan Siti Nurulain Mohamad Nizam dan Muhammad Hafizam Md Kamar Zaman (pelakon).
 
Malam Terakhir  – Karya Yokio Mishimka
Mengisahkan tentang seorang perempuan tua bernama Komachi, berusia 80 tahun, yang ketika mudanya dianggap sebagai seorang wanita cantik. Sewaktu dia sedang mengutip puntung rokok di taman, muncul seorang penyair muda.

Setelah berkenalan, Komachi menceritakan pengalaman percintaanya dengan kapten Fukaksa ketika berumur 19 tahun. Komachi ketika itu hanyut dalam khayalan dan melihat penyair di hadapannya seperti jelmaan kapten Fukaksa.

Pelajar dinilai:  Abdul Rahman Azmi (pengarah), Nur Amira Addina Mohd Zamri (sinografer), Siti Nur Syazwinah Edham dan Muhammad Al Iman Abd Hamid (pelakon).

Antara babak menarik dalam karya Kisah Cinta & Lain-Lain nukilan Arifin C. Noer

Kisah Cinta & Lain-Lain – Karya Arifin C. Noer
Kematian seekor anjing tua Toni telah menimbulkan kekecohan di rumah Tuan Manto dan Nyonya. Di atas desakan Nyonya pelbagai ikhtiar dibuat bagi menyembuhkan anjing kesayangannya tetapi gagal. Toni semakin sakit dan tidak berdaya. Tuan Manto buntu untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Pada masa yang sama, Otong si pembantu rumah yang sudah beristeri menjalinkan percintaan dengan Wilem juga seorang pembantu rumah di situ. Otong juga menerima berita bahawa anaknya sakit. Dia terperangkap di antara anak dan kesetiaannya terhadap keluarga tersebut.

Pelajar dinilai: Nisha Nabilla Nor Azlan (pengarah), Nurhana Nabilah Che Mahathir (sinografer), Muhammad Aziem Mohd Azizi, Nabila Izzati Abdul Zainudin dan Nurul Adlina Syafiqah Saidin (pelakon).  – 26 Disember, 2023

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

Related