Dua pengarah bersama siapkan filem Pendekar Awang, namun hasil kerja Areel Abu Bakar digunakan 35 peratus

Dua pengarah tersebut adalah Shaharudin Mat Dali dan Saiful Reza Abdul Shukor

10:56 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Akhirnya terjawab sudah siapa pengarah yang telah menyiapkan naskhah pembikinan filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah terbitan Studio Kembara selepas pengarah pertamanya, Areel Abu Bakar digugurkan tanpa sebab-sebab yang jelas.

Seperti yang dilaporkan Scoop sebelum ini, pengarah tersebut adalah Shaharudin Mat Dali yang bertindak sebagai penulis skrip untuk filem ‘spin off’ Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, iaitu individu sama yang menulis skrip filem Mat Kilau.

Shaharuddin bagaimanapun tidak keseorangan, sebaliknya Saiful Reza Abdul Shukor telah menjadi pengarah bersama dalam filem kedua terbitan Studio Kembara yang menelan bajet sebanyak RM15 juta ini.

Isu kerap menukar pengarah dalam filem-filem terbitan mereka bukanlah sesuatu yang baharu buat Studio Kembara. Sebelum Pendekar Awang, filem Mat Kilau juga turut berdepan dengan hal yang sama sebelum mereka memutuskan untuk menggunakan khidmat Syamsul Yusof sebagai pengarah terakhir.

Mengulas mengenai tindakan mereka yang kerap menukar ganti pengarah, Penerbit merangkap Pengerusi Eksekutif Studio Kembara Sdn Bhd, Abdul Rahman Mat Dali berkata, perkara itu berlaku bukanlah disebabkan wujudnya apa-apa masalah.

Abdul Rahman Mat Dali bercakap dalam sidang media Tayangan Perdana Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah di GSC Ioi City Mall Putrajaya hari ini – Abdul Razak Latif/Scoop, 2 Januari, 2024

“Cuma bila kita melihat pada block awal, kita dapati ia perlu diperbaiki agar tidak menjejaskan produk akhir filem ini.

“Sebab itu, kita terpaksa ubah dan ambil alih untuk menyiapkan filem ini dan pada masa yang sama kita cuba tambah baik apa yang perlu,” katanya pada majlis tayangan perdana filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah yang diadakan di GSC, IOI Mall, petang tadi.

Areel sebelum ini menyatakan dia telah digugurkan daripada produksi filem ini tanpa sebab dan mendakwa dia telah menyiapkan pembikinan filem ini sebanyak 90 peratus dan hanya berbaki 10 peratus lagi.

Ditanya berapa peratuskah hasil kerja Areel yang digunakan di dalam filem, Shaharuddin selaku pengarah dan penulis skrip berkata, jumlah hasil kerja Areel yang digunakan adalah sebanyak 30 peratus hingga ke 35 peratus.

“Selebihnya adalah hasil kerja saya dengan Reza,” katanya.

Bahkan, Studio Kembara juga turut menyenaraikan nama Areel di bahagian ‘end credit’ walaupun pada sidang media pertama mereka hujung tahun lalu, kedudukan Areel masih lagi belum diputuskan.

“Kita telah pun meletakkan nama Areel di bahagian ‘end kredit’ untuk unit kedua produksi penggambaran filem ini,” kata Abdul Rahman pula.

Saiful Reza Abdul Shukor (tengah) dipertanggungjawabkan untuk mengarahkan babak-babak aksi. – Abdul Razak Latif/Scoop, 2 Januari, 2024

Mengenai pembahagian tugas Shaharudin dan Reza sebagai pengarah bersama dalam filem ini, Reza berkata, dia telah dipertanggungjawabkan untuk mengarahkan babak-babak aksi dan pertarungan di dalam filem ini.

“Bagi babak-babak drama pula, ia menjadi tugas Shaharuddin. Namun, sebelum saya melakukan babak-babak aksi ini, saya akan mendapatkan khidmat nasihat daripada Shaharuddin terlebih dahulu kerana dia yang tahu apa yang dia mahukan dalam filem ini,” katanya.

Mengenai watak-watak dalam filem ini, Shaharuddin berkata, filem ini diinspirasikan daripada kisah benar dan bukan sebuah filem fiksyen.

“Watak utama dalam filem ini adalah watak benar dan ada juga beberapa watak yang diwujudkan sebagai daya penarik.

“Kebanyakan watak-watak benar ini bukanlah didapati menerusi kajian dalam mana-mana buku, sebaliknya ia adalah kajian yang saya lakukan menerusi temubual bersama waris-waris mereka sewaktu saya menyiapkan naskhah filem Mat Kilau lagi.

“Mereka ini adalah pahlawan-pahlawan yang tidak didendang dan saya hanya ingin mengangkat jasa, pengorbanan dan perjuangan dalam mempertahankan Tanah Melayu di dalam filem ini,” katanya.

Setelah cuba berahsia, akhirnya Studio Kembara mendedahkan bahawa Shaharudin Mat Dali akan menyiapkan filem kedua terbitan mereka, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah bersama Saiful Reza Abdul Shukor. – Abdul Razak Latif/Scoop, 2 Januari, 2024

Filem Pendekar Awang berkisar mengenai usaha Awang terpaksa menyelamatkan Haji Sulong yang telah ditangkap British dan dia juga mesti memastikan Tok Gajah berjaya ke Terengganu dengan selamat.

Dalam usaha Awang menyelamat, Awang berdepan pelbagai rintangan dan pertempuran. Berjayakah Awang menyelamatkan Tok Gajah dan Haji Sulong serta menewaskan askar terkuat di dunia yang diketuai Kapten Syers kali ini?

Filem yang diterajui Fattah Amin, Nur Fazura, Nadhir Nasar, Wan Hanafi Su, Nam Ron, Amir Ahnaf, Heliza Helmi, Amerul Affendi dan Hasnul Rahmat ini bakal ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia pada 11 Januari ini. – 2 Januari, 2023.

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Related