Puas hasilkan iklan raya Janji Amir, Bobby Husaini puji pendekatan Agrobank sampaikan mesej universal

Mesej yang cuba disampaikan di dalam iklan raya ini juga sangat jelas dan sangat universal serta mampu menjangkau ramai orang

6:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Bermacam iklan raya dihasilkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ada yang memilih untuk menjual produk, ada yang menjual jenama dan tidak kurang juga yang mengambil pendekatan memaparkan mesej nilai-nilai murni dalam kehidupan masyarakat kita.

Ketika ditemu bual Scoop, pengarah iklan komersial, Bobby Husaini yang bertanggungjawab mengarahkan filem iklan, Janji Amir untuk Agrobank memuji sikap keterbukaan institusi perbankan itu kerana memilih menyampaikan nilai teras mengenai hubungan kemanusiaan dan kekeluargaan dalam iklan raya terbitan mereka.

“Satu usaha yang baik daripada mereka dan ia membuktikan mereka adalah satu jenama yang matang, yang memahami audiens mereka, apa yang berlaku dalam kehidupan pelanggan mereka serta sangat menghargai dan memahami nilai masyarakat Malaysia.

“Saya sendiri rasa puas menghasilkan filem iklan raya ini kerana diberi peluang bekerja dengan bakat-bakat seni hebat.

“Setiap karakter dalam filem iklan ini membawa peranan mereka dengan baik sekali dan saling melengkapi antara satu sama lain,” katanya di majlis pelancaran filem iklan raya tersebut.

Bobby Husaini yang bertanggungjawab mengarahkan filem iklan, Janji Amir puas menghasilkan filem iklan raya ini kerana diberi peluang bekerja dengan bakat-bakat seni hebat – Ellyna Ali/Scoop, 9 April, 2024

Janji Amir yang diterajui Beto Kusyairy bersama Nadiya Nisaa dan Amirul Affendi ini memaparkan kisah masyarakat yang sangat dekat dengan kita dalam menjalani kehidupan seharian, dengan aktiviti yang padat sehingga mengabaikan tanggungjawab kepada ibu bapa.

Hanya setelah mereka tiada barulah kita sedar akan peluang yang amat singkat untuk menghargai mereka.

Menurut Bobby yang mewakili agensi pengiklanan Tangerine Pictures, mesej yang cuba disampaikan di dalam iklan raya ini juga sangat jelas dan sangat universal serta mampu menjangkau ramai orang, bukan dalam konteks hubungan dengan ibu bapa semata-mata tapi juga ahli keluarga yang lain atau kawan-kawan.

“Saya rasa kita perlu gunakan kesempatan yang ada bersama siapa pun dengan sebaik-baiknya. Sebab ralat tiada ubatnya. Bila kita rasa ralat, kita akan dihantui rasa bersalah.

“Kita mula persoalkan dan menyalahkan diri, kita patut buat benda itu atau kita patut cakap perkara itu. Perkara kecil yang kita tidak buat kita akan rasa ralat. Itulah sebenar-benarnya mesej yang ingin kita sampaikan dalam iklan raya ini,” katanya.

Sementara itu Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, penghasilan filem iklan raya itu adalah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai nilai dan erti hubungan kasih sayang serta kekeluargaan.

“Bukan untuk menjual produk atau mempromosikan jenama. Kita mahu promosikan nilai kerana jenama kita berhubung kait dengan komuniti.

‘Kita memiliki 150 cawangan di seluruh Malaysia dan kebanyakannya terletak di kawasan pedalaman dan kumpulan sasaran kita adalah petani, peladang, penternak dan nelayan.

“Kalau kita imbas kembali, kita semua pernah berasal dari sana sama ada datuk, nenek atau ibu bapa kita. Bila kita terapkan nilai-nilai seperti ini, ia boleh berhubung kait dengan semua. Ia juga sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial korprat (CSR) kami terhadap masyarakat,” katanya. – 9 April, 2024

Topics

Popular

Fuad has no right to intervene in Sabah 40% special grant case: Kitingan

Deputy CM asserts that the lawyer has no authority to speak for state govt as he was not appointed

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

‘Non-Bumiputera doctors don’t even want to enrol at UiTM,’ says Umno’s Akmal

Umno Youth chief says certain quarters with ‘political interests’ are harping on the issue to disrupt racial harmony

Related