Dayang Nurfaizah pendorong kebangkitan irama tradisional

Daripada kanak-kanak, remaja dan yang meningkat dewasa, ramai mampu menghafal dan menyanyikan lagu tradisional seperti Lemak Manis dan Umpan Jinak Di Air Tenang, Joget Pahang serta Joget Senyuman Memikat

11:00 AM MYT

 


KUALA LUMPUR – Gelombang kebangkitan lagu-lagu tradisional dalam kalangan generasi muda hari ini memang tidak disangka sama sekali serta cukup mengejutkan di sebalik muzik Kpop dilihat masih begitu kuat mendominasi pasaran muzik secara global termasuk Malaysia.

Daripada kanak-kanak, golongan remaja dan yang meningkat dewasa, ramai yang sudah mampu menghafal dan menyanyikan lagu tradisional seperti Lemak Manis dan Umpan Jinak Di Air Tenang, Joget Pahang serta Joget Senyuman Memikat.

Bahkan, tanpa segan-silu mereka turut menyanyikannya dalam acara keramaian ketika ada di antara lagu-lagu irama tradisional yang popular dan mesra di hawa telinga mereka itu dipersembahkan.

Suatu yang cukup membanggakan sebetulnya, namun apa sebenarnya yang mendorong generasi muda hari ini untuk menghargai irama tradisional yang diwarisi turun-temurun serta menjadi paksi terhadap jati diri asal-usul kita?

Penyanyi irama tradisional muda, Haziq Rosebi ketika ditemui Scoop berpendapat, album Belagu 2 yang diterbitkan dan dihasilkan penyanyi Dayang Nurfaizah adalah pemangkin bagi golongan muda untuk menyukai irama tradisional ketika ini.

“Sejak album itu keluar disusuli dengan lagu Lemak Manis nyanyian dan ciptaan Roslan Madun iaitu pejuang lagu rakyat dan tradisional, memang banyak sekali golongan anak muda yang mula mendengar irama tradisional.

“Ini dapat kita lihat di platform media sosial seperti TikTok dan YouTube. Memang genre ini sudah datang balik. Terima kasih sangat-sangat kepada Dayang.

“Sebenarnya, saya dan beberapa penyanyi tradisional di Malaysia ini sangat cemburu dengan susunan muzik dalam album Dayang itu. Sebab guna orkestra penuh. Kami pun teringin juga tapi memang itu sudah rezeki Dayang,” katanya.

Haziq juga mengakui, sejak irama tradisional kembali meningkat, ia turut membuka pintu untuk menerima tawaran daripada syarikat korporat, badan-badan kerajaan serta pihak istana.

Sejak irama tradisional kembali meningkat, Haziq Rosebi tidak hanya mendapat jemputan membuat persembahan di majlis perkahwinan, malah menerima tawaran syarikat korporat, badan-badan kerajaan serta istana. – Gambar Instagram Haziq Rosebi, 14 April, 2024

“Alhamdulillah, dulu saya selalu buat persembahan di majlis kahwin sahaja. Sekarang ini, pernah dalam sebulan saya dapat buat 27 persembahan. Tapi bukan setiap hari. Ada hari yang perlukan saya buat show dua atau tiga kali,” katanya.

Sementara itu, seorang pejuang irama tradisional golongan muda, Rojer Kajol atau nama sebenarnya Mohd Rozaidy Shukry pula berpendapat, golongan muda sebenarnya memang punya minat terhadap lagu-lagu seperti ini.

“Tapi, ia tidak mendapat sokongan yang sewajarnya daripada pihak media sendiri. Lagu-lagu ini jarang didedahkan sama ada dalam bentuk persembahan atau pertandingan.

“Apabila media tidak memainkan peranan, maka golongan muda akan mencari alternatif untuk mendengar muzik lain.

“Dari sisi lain pula, ia menyebabkan penggiat irama tradisonal lama terputus hubungan dengan penggiat baharu macam kami,” katanya.

Rojer Kajol berharap lagu irama tradisional mendapat sokongan sewajarnya daripada media kerana jarang didedahkan sama ada dalam bentuk persembahan atau pertandingan. – Gambar Instagram Rojer Kajol, 14 April, 2024

Rojer bagaimanapun mengakui, bahawa Dayang Nurfaizah antara punca lagu irama tradisional kembali bersemarak semula dalam industri muzik tanah air.

“Dayang Nurfaizah asalnya adalah penyanyi yang pernah menyertai Bintang Asli Sarawak, jadi dalam dirinya itu sudah ada jati diri untuk tidak melupakan irama tradisional.

“Jadi, bila dia buat album irama tradisional seperti Belagu dan Belagu 2, orang ambil tahu dan mendengar lagu-lagunya dan ia juga cepat naik,” katanya ketika dihubungi Scoop. – 14 April, 2024

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Ex-Lazada top execs create support groups for retrenched staffers

Several former top executives and managers of embattled Lazada have started unofficial support groups to help recently retrenched colleagues in Southeast Asia.

LA County Coroner’s Office defers Friends star Matthew Perry’s cause of death

Authorities said they are awaiting toxicology results and further investigation with law enforcement, which could take weeks to complete, reported TMZ.

Related