Ada rakan saya, suami mereka ‘house husband’, Nadia Aqilah akui tiada salahnya, sudah jadi normalisasi

Katanya, apa yang penting suami dan isteri itu gembira dengan keputusan tersebut

1:34 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sering menjadi pilihan agensi pengiklanan untuk menjayakan filem pendek atau iklan Aidilfitri, pelakon Nadia Aqilah Bajuri memaklumkan dia lebih mengutamakan skrip dan jalan cerita sesebuah iklan yang ditawarkan kepadanya.

Bercakap kepada Scoop, Nadia Aqilah berkata, dia ada menerima beberapa tawaran menjayakan beberapa iklan raya pada tahun ini, namun hanya memilih dua daripadanya termasuk Suami Mithali yang diterbitkan Taylor’s College.

Nadia Aqilah turut membintangi filem seram, Geng Kubur arahan Gavin Yap yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air pada 27 April ini. – Gambar PR, 21 April, 2024

“Memang saya ada dapat tawaran lain tapi saya berpeluang memilih sendiri iklan raya Suami Mithali itu kerana saya sukakan skripnya. Lagipun, ia mengetengahkan isu mengenai suami yang menjadi ‘house husband’, manakala isteri keluar bekerja.

“Kalau kita lihat, isu ini adalah isu semasa yang sudah menjadi normalisasi dalam kehidupan masyarakat. Saya juga suka cara ia dipersembahkan. Jalan ceritanya menarik dan mesej yang disampaikan juga secara bersahaja dengan elemen raya sebagai latar belakangnya,” katanya.

Memberikan pandangan peribadinya mengenai suami yang menjadi ‘house husband’ dan isteri pula yang keluar mencari nafkah, Nadia Aqilah mengakui memiliki kelompok rakan yang suami mereka menjadi ‘house husband’.

“Bagi saya tidak ada salahnya. Saya rasa yang penting di sini adalah persefahaman dan bagaimana mereka seimbangkan peranan masing-masing. Mungkin isteri memiliki gaji yang lebih besar dan daripada mengupah pembantu rumah, lebih baik suami yang jaga anak-anak.

“Kalau difikirkan semula, ada betulnya juga. Agak hebat juga bila perkara ini sudah mula menjadi normalisasi dalam kehidupan masyarakat kita. Yang penting, dua-dua (suami isteri) okay dan mereka happy (gembira) dengan keputusan itu.

“Berpeluang mewakili keluarga sebegini dalam iklan raya itu turut membantu saya dan masyarakat di luar sana untuk lebih memahami situasi mereka,” katanya yang juga teraju filem Zaiton Ceritaku.

Nadia Aqilah juga antara pelakon yang menjayakan filem seram, Geng Kubur arahan Gavin Yap yang bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air pada 27 April ini.

Menceritakan pengalamannya sewaktu menjalani penggambaran filem itu kira-kira dua tahun lalu Nadia berkata, ketika itu dia sedang hamil lima bulan dan sering mabuk hamil (morning sickness).

“Tapi, syukur Alhamdulillah kerana pihak produksi amat memahami situasi saya. Mereka membuatkan saya selesa walaupun terpaksa menjalani penggambaran di kawasan hutan dan jugak babak seram yang ada darah.

“Untuk babak jatuh misalnya, mereka berjaya buat saya tak jatuh. Untuk babak air mata berdarah pula, mereka beli sejenis air mata daripada Amerika Syarikat (AS) dan sebelum penggambaran dilakukan mereka akan menguji dahulu, jika saya ada sebarang alahan atau tidak.

“Saya memang berasa selamat bersama mereka. Cuma bila habis babak sahaja, saya akan muntah. Hingga mereka terpaksa sediakan baldi kecil untuk saya. Selain itu, saya juga tidak dapat menahan emosi bila berdepan babak ibu dan anak dalam filem ini,” katanya.

Selain Nadia Aqilah, filem Geng Kubur turut dibintangi Firdaus Sufiyan, Mia Sara Shauki, Lion Chong dan Sasidaran.

Nadia mendirikan rumah tangga dengan vokalis Seven Collar T-Shirt, Saiful Ridzuan Sharafuddin dan dikurniakan dua cahaya mata, Senja Aqilah, 5, dan Bayu Aria yang kini berusia setahun. – 21 April, 2024

Topics

Popular

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Ice creams seized for being labelled ‘no palm oil’

Enforcement officers from the domestic trade ministry seized RM897.60 worth of ice cream with the offending label

Related