Profima terima 10 laporan langgar kontrak, culas buat bayaran pekerja filem

Kes yang melibatkan gangguan seksual juga pernah berlaku dua tahun lalu dan Profima sangat memandang serius akan perkara itu

4:26 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) mendedahkan mereka menerima 10 laporan melibatkan pekerja filem sepanjang tempoh empat bulan ini termasuk isu mengenai pelanggaran kontrak, penerbit culas membuat bayaran, tempoh jam bekerja serta kemalangan di tempat kerja.

Presiden Profima, Khalil Salleh memberitahu Scoop, setakat ini, sebanyak 90% kes yang dilaporkan selesai dalam pertikaian yang berlaku melalui hasil perbincangan di antara pekerja filem dengan pihak penerbit kecuali yang melibatkan polis dan perundangan.

Presiden Profima, Khalil Salleh berkata setakat ini, sebanyak 90% kes yang dilaporkan selesai. – Gambar media sosial, 2 Mei, 2024

“Kita hanya bertindak jika ada aduan atau laporan yang dibuat secara rasmi oleh ahli. Itu memang polisi yang dipegang Profima sejak dulu lagi dan sebagai orang tengah, kita akan cuba selesaikan kes atau permasalahan itu sehingga kedua-dua pihak mencapai kata putus atau persetujuan bersama.

“Ada juga kes yang turut dibawa kepada pengetahuan pihak Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) jika ia perlu dan bersangkutan. Akhir sekali, jika tidak dapat diselesaikan, kita akan meminta ahli membuat aduan kepada Jabatan Buruh.

“Tapi, jika kes itu terlebih dahulu dilaporkan kepada polis serta melibatkan perundangan, kita akan menyerahkan kepada polis dan mahkamah untuk menyelesaikannya. Bagi kes yang bukan melibatkan ahli Profima pun, kita tidak dapat buat apa-apa tapi kita hanya memantau sahaja,” katanya.

Dalam usaha berterusan untuk membantu memperjuang hak dan kebajikan pekerja-pekerja filem, Khalil berkata, dia amat berharap semua sektor pekerja filem berdaftar dan mengaktifkan keahlian Profima.

“Dengan cara ini, barulah ada tempat untuk mereka mengadu dan membela masalah yang dihadapi berkaitan dengan tugas dan kerjaya profesional mereka.

“Profima sebetulnya memang galakkan apa sahaja aduan dan laporan rasmi daripada ahli-ahli tidak kiralah sama ada kes yang kecil mahu pun besar kerana hanya dengan cara ini, kita dapat memantau pelbagai isu atau masalah yang berlaku dalam industri.

“Selain itu, ia juga dapat membantu kita menyediakan data laporan penuh mengenai kes atau masalah yang berlaku kepada pekerja-pekerja filem kepada Finas agar kita dapat mencari resolusi atau penambahbaikan terhadap sistem yang digunapakai di dalam industri pada masa ini,” katanya lagi.

Menurut Khalil, kes yang paling banyak diterima mereka adalah ‘payment’ akhir yang gagal dibayar penerbit kepada pekerja-pekerja filem.

“Kes ini berlaku tidak kira dalam produksi drama mahu pun filem. Akan tetapi, selalunya ia kerap berlaku kepada syarikat baharu yang boleh dikategorikan masih mentah dalam pengurusan serta kurang bersedia terhadap perniagaan penerbitan. Ia sangat jarang berlaku pada syarikat berpengalaman.
 
“Kes yang melibatkan gangguan seksual juga juga pernah berlaku dua tahun lalu. Profima sangat memandang serius akan perkara ini dan tidak akan teragak-agak untuk bertindak jika ada laporan rasmi dibuat.
 
“Walaupun hanya dengan perkataan atau tulisan, ia tetap satu isu yang sensitif dan kerana itu kita pernah adakan kempen untuk menyebarkan kesedaran mengenai isu gangguan seksual di kalangan penggiat filem sebelum ini,” katanya.
 
Semalam, Profima menyerahkan Memorandum Kru Filem Malaysia yang mengandungi tujuh usul penting kepada kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan agensinya, Finas bersempena sambutan Hari Pekerja 2024.
 
Antara usul yang dikemukan itu adalah gesaan untuk mewajibkan pelaksanaan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja produksi filem dan televisyen sebagai prasyarat bagi permohonan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas).
 
Usul lain adalah mewajibkan keahlian persatuan pekerja dan penerbit bagi permohonan SPP Khas dan pelaksanaan kontrak kerja bagi semua kerja-kerja produksi filem serta kreatif negara serta menuntut supaya tempoh kerja maksimum 12 jam sehari ditetapkan bagi kerja-kerja pengambaran. – 2 Mei, 2024

Topics

Popular

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

[UPDATED] Lazada’s Malaysian office not spared from major layoffs

Employees across various departments at Lazada Malaysia's office have allegedly been informed about an impending meeting with the company's human resources team in the next few days. 

Ibu Zayn Rayyan ‘tinggalkan’ media sosial, tak tahan komen jahat netizen kaitkan dengan pembunuhan

Menurut Zahari Mohd Reba, menantunya itu masih lagi trauma dan terkesan di atas kehilangan Zayn Rayyan, yang ditemukan mati dibunuh di saliran air kira-kira 100 meter dari kediaman mereka di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada 6 Disember tahun lalu

Related