HEADLINES

MYTV jelaskan isu penggantungan Awesome TV, tiada kaitan dengan isu politik


Perkara itu dijelaskan MYTV menerusi kenyataan rasmi yang dikongsi di Facebook selepas timbulnya beberapa laporan media dan pelbagai reaksi di hantaran di media sosial

1:47 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tiada kaitan dengan isu politik sama sekali, sebaliknya penggantungan Awesome Broadcasting Sdn Bhd (Awesome TV) daripada platform penyiaran MYTV Brodcasting Sdn Bhd (MYTV) adalah disebabkan isu-isu komersial yang tidak mencapai kata putus.

Perkara itu dijelaskan MYTV menerusi kenyataan yang dikongsi di Facebook selepas timbulnya beberapa laporan media dan pelbagai reaksi dalam hantaran di media sosial mengenai penggantungan Awesome TV daripada platform berkenaan.

Menurut MYTV, penggantungan itu disebabkan isu-isu komersial yang tidak dapat diselesaikan walaupun pelbagai usaha telah dilakukan kedua-dua pihak.

“Sehubungan itu, MYTV telah meneliti proses yang sewajarnya dan mengambil langkah-langkah perlu sebelum mencapai keputusan untuk menggantung siaran Awesome TV di platform MYTV berkuat kuasa 26 Mei lalu.

“Tindakan yang telah diambil MYTV tersebut mematuhi sepenuhnya Perintah Persetujuan Mahkamah Rayuan bertarikh 8 April.

“Tindakan ini adalah amat dikesali dan MYTV memohon maaf kepada penonton di atas sebarang kesulitan. MYTV kekal komited dalam menawarkan saluran-saluran berkualiti tinggi dan akses kepada pelbagai kandungan yang menarik kepada penonton,” katanya.

Isu penggantungan Awesome TV daripada platform MYTV mendapat perhatian dan meraih pelbagai reaksi daripada netizen. 

Rata-rata mereka mengaitkannya dengan isu politik apabila Awesome TV dilihat cukup berani memaparkan laporan berita politik yang tidak berat sebelah di segmen berita mereka.

Sementara itu, Awesome TV melalui kenyataan berkata, tindakan MYTV menggantung siaran mereka daripada platform tersebut menerusi saluran 112 sama sekali tidak beretika dan menyalahi undang-undang.

Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas berkata, pihaknya telah memfailkan permohonan semakan rayuan di Mahkamah Rayuan dan masih belum ada keputusan.

“Bahkan, mereka turut memfailkan rayuan kepada tribunal rayuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan masih menunggu keputusan.

“Perkara ini masih di peringkat mahkamah dan sedang menunggu keputusan akhir. Oleh itu, tindakan MYTV untuk menggantung Awsome TV adalah tidak beretika dan menyalahi undang-undang,” katanya. – 28 Mei, 2024

Topics

 

Popular

RM1.3bil raised, but MEX II left incomplete with only RM30mil in the bank

With construction stalled, government mulls takeover as MACC probes RM416 million in alleged false claims 

OCM in the spotlight again: Skechers collab draws flak after brand linked to Israel

With shoe sponsorship amounting to almost RM200,000, Datuk Nazifuddin Najib says sports should be free from any agenda as the aim is to provide comfort to athletes

Jho Low is now ‘Constantinos Achilles’, lives luxuriously in Shanghai: US reporters

The former playboy financier linked to 1MDB scandal is allegedly using a fake Aussie passport to move around China

Related