◉ HEADLINES

Tiga motosikal bergesel sesama sendiri punca Farres Putra maut di litar

Farres Putra, yang berasal dari Selangor, mengalami kemalangan semasa perlumbaan Kejuaraan Akhir CP150 pusingan kelima Kejuaraan Malaysian Cub Prix, di Litar Permotoran Gong Badak petang semalam

9:18 AM MYT

 

KUALA TERENGGANU – Kecederaan pada pelbagai bahagian badan akibat kemalangan motosikal, menjadi punca kematian pelumba Malaysian Cub Prix Farres Putra Mohd Fadhill, 18, di Litar Permotoran Gong Badak, petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, proses bedah siasat ke atas pelumba CKJ Racing itu, telah dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bermula 10 hingga 11.55 malam tadi.

Beliau memberitahu, Farres Putra, yang berasal dari Selangor, mengalami kemalangan semasa perlumbaan Kejuaraan Akhir CP150 pusingan kelima Kejuaraan Malaysian Cub Prix, di Litar Permotoran Gong Badak petang semalam.

“Kemalangan melibatkan tiga buah motosikal yang bergesel sesama mereka. Mangsa telah dibawa ke Unit Kecemasan HSNZ dengan ambulans dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya, lapor Bernama.

Sementara itu, rakan mangsa Adi Putra Anahar, 17, berkata ketika kejadian dia sedang berada dalam kereta menyaksikan siaran langsung perlumbaan melalui telefon pintar, sebelum siaran tersebut tiba-tiba ditamatkan.

Dia yang mewakili pasukan Honda KC Racing Team berkata kali terakhir mereka berjumpa petang Khamis lepas, ketika dalam perjalanan pulang ke inap desa di sekitar kawasan Gong Badak.

“Semalam saya ambil peluang tengok siaran langsung perlumbaan dalam kereta, memandangkan sesi perlumbaan saya dah berakhir. Tetapi hairan kerana tiba-tiba siaran tersebut ditamatkan. 

“Tak lama selepas itu saya terima panggilan telefon daripada rakan yang beritahu Farres kemalangan. Saya terus bergegas ke hospital, tetapi diberitahu yang dia sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HSNZ malam tadi.

Adi Putra yang berasal dari Selangor berkata pemergian arwah meninggalkan kesan yang mendalam, memandangkan mereka sudah berkawan rapat sejak berusia 13 tahun.

Dia meyifatkan mangsa yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik seorang rakan yang sangat baik dan sentiasa berkongsi rezeki dengan orang lain.

“Kami dah berkawan lama kerana sama-sama terlibat dalam sukan permotoran. Dalam seminggu, dua tiga kali kami akan lepak bersama. Saya sedar risiko dalam sukan permotoran, tetapi tak sangka akan hilang dia dalam sekelip mata,” katanya. – 30 Ogos, 2026

Topics

 

◉ Popular

10 filem patriotik pasukan beruniform tanah air ini wajib ditonton!

Harus diakui bahawa Malaysia masih lagi kekurangan filem-filem bergenre kenegaraan yang mampu membangkitkan semangat nasionalisme dan jiwa patriostisme rakyat terhadap negara yang berjaya bebas dari cengkaman penjajah sejak 66 tahun lalu

Mutiara LRT project kicks off as Penang’s six-year construction timeline begins

SRS Consortium receives notice to proceed with first civil works; RM13 billion project slated for completion by 2031

Berocca tablets’ expiration stickers unrelated to product safety, quality, says Bayer Malaysia

The new expiration date stickers observed on selected batches of Berocca Orange Flavour Effervescent Tablets are not related to any concerns over product safety or quality, said Bayer Co (Malaysia) Sdn Bhd.

◉ Related