HEADLINES

PRK: Nazri mahu manfaat pengalaman di MPM, salur masalah rakyat dengan cepat

Melalui pengalaman itu, beliau tahu saluran yang tepat untuk merujuk sebarang aduan rakyat sama ada ke Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran atau agensi lain yang berkaitan

11:25 AM MYT

 

MUAR – Calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram Nazri Abdul Rahman menyifatkan pengalaman yang ada ketika berkhidmat sebagai jurutera selama 30 tahun di Majlis Perbandaran Muar (MPM), kelebihan untuknya menyalurkan sesuatu permasalahan rakyat dengan lebih mudah dan tepat. 

Nazri berkata melalui pengalaman itu, beliau tahu saluran yang tepat untuk merujuk sebarang aduan rakyat sama ada ke Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran atau agensi lain yang berkaitan.

“Secara tidak langsung kita salur masalah ke tempat yang betul, kalau tidak pengadu tak tahu saluran mana nak pergi, kadang-kadang terus direct takut tak sampai pada jabatan sepatutnya.

“Kebetulan saya bekas kakitangan awam di MPM dan semua ketua jabatan ialah sahabat saya, kami selalu berkongsi dan berbincang mengenai permasalahan ini dan dengan ada kelebihan ini, saluran lebih mudah,” katanya dalam temu bual dengan Bernama. 

Nazri yang memiliki Sarjana Kejuruteraan Awam Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) berkata sewaktu di MPM, beliau sendiri sering menerima aduan daripada pemimpin setempat seperti wakil rakyat, penghulu dan ketua yang mengadu tentang masalah banjir kilat dan jalan rosak. 

“Seboleh-bolehnya pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk saya cuba selesaikan masalah secepat mungkin, bila kita dapat selesaikan masalah rakyat dan pengadu dengan cepat sudah tentu sebagai PBT kita dapat laksanakan tanggungjawab dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, Nazri berkata isu perparitan dan banjir kilat yang dihadapi di sesetengah kawasan tanah rendah terutamanya di kawasan perumahan lama seperti di Taman Temiang Jaya dan Taman Seri Mulia, Sungai Abong, tidak hanya dapat diselesaikan dengan cara membina parit-parit baharu.

Katanya, berdasarkan dapatan kajiannya setakat ini, rekod menujukkan trend peningkatan tiga milimeter setahun aras laut di Sungai Muar yang memungkinkan masalah banjir kilat menjadi lebih teruk jika tidak diatasi segera. 

“Kadang-kadang kita beranggapan naik taraf sistem perparitan akan menyelesaikan masalah, sepanjang saya bertugas sebagai jurutera, sejak 2010 saya laksana projek atasi masalah banjir, dengan peruntukan yang ada di Muar hampir keseluruhan sistem perparitan kita sudah naik taraf.

“Tapi masalahnya kekerapan banjir masih berlaku di kawasan tanah rendah dan ada juga kawasan ini yang kita tak boleh naikkan tanah kerana di situ ada pembangunan,” katanya. 

Disebabkan itu, beliau berkata dapatan kajian peringkat doktor falsafah memfokuskan kepada isu banjir kilat dan banjir monsun yang sedang disiapkannya sekarang amat penting dalam mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang kepada permasalahan berkenaan. 

“Bila masalah banjir ini selesai kita harapkan kawasan-kawasan terutama di Sungai Abong ini, penduduk akan lebih selesa dan ekonomi boleh dijalankan dengan lebih baik,” katanya. 

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lepas.

PRK di kedua-dua kerusi berkenaan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara PN, BN-PH dan Bebas, dengan Nazri akan berdepan saingan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Mohd Mazri Yahya daripada PN dan calon Bebas yang juga ahli perniagaan S. Jeganathan. – 2 September, 2023

Topics

 

Hangat

[WATCH] Robust US trade links critical to sustaining Malaysian jobs: Tengku Zafrul

Malaysia risks losing thousands of jobs if it fails to come to a trade agreement with the the United States following the latter’s new tariff regime, said Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz while stressing that execution, credibility and real economic spillovers are key to sustaining investor confidence

Roslin Hashim embarks on three-year mission to boost Egyptian badminton ahead of 2028 Olympics

Former national player aims to boost Egypt’s badminton standards, with a focus on the 2028 Los Angeles Olympic Games

Marhamah’s appointment sparks debate, uncle Badrulamin hits back

He insists donation funds were audited, denies New Age links, urges fairness in judgment

Related